Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Toh Puan Raja Noora Ashikin terima Darjah Utama Pangkuan Negeri

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurul Wahida Mohd Noor/Shamsul Bahari Abdul Shukor

GEORGE TOWN, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, isteri kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan, dikurniakan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) iaitu darjah kebesaran tertinggi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Kalung, bintang, selempang dan lencana DUPN

Istiadat penganugerahan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Hotel Eastern & Oriental, semalam.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid serta barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri.

Mufti Negeri Pulau Pinang Datuk Dr. Mohd Sukki Othman, turut hadir memimpin bacaan doa bagi memberkati istiadat.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan isteri turut hadir

Untuk rekod, DUPN telah dizahirkan pada tahun 1967 dan merupakan darjah kebesaran tertinggi dalam struktur anugerah negeri Pulau Pinang.

Darjah ini mengandungi kalung, bintang, selempang dan lencana darjah yang melambangkan kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Kerajaan Negeri.

Toh Puan Raja Noora Ashikin dilahirkan pada 4 Februari 1948 dan telah dibesarkan di Ipoh, Perak.

Selama 52 tahun usia perkahwinan bersama Tun Ramli Ngah Talib, pasangan bahagia ini dikurniakan empat cahaya mata dan tujuh cucu.

Selain pernah menggalas tanggungjawab sebagai isteri kepada wakil rakyat, Toh Puan Raja Noora Ashikin juga telah mengasaskan Badan Amal dan Usaha Isteri Perak (BAIDURI) iaitu sebuah pertubuhan isteri-isteri kepada wakil rakyat di Perak pada 13 Disember 1883 dan sekali gus dilantik sebagai Presiden Pengasas.

Sejak tahun 1997, Toh Puan Raja Noora Ashikin turut memainkan peranan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Women’s Institute of Management (WIM) yang merupakan sebuah institusi yang memfokuskan kepada pembangunan wanita dalam pendidikan, kepimpinan dan keusahawanan serta membantu wanita yang memerlukan peningkatan kemahiran untuk meningkatkan mata pencarian mereka.

Selain bergiat aktif dalam pelbagai bidang termasuk kemanusiaan, kebajikan, sukan dan pembangunan wanita, Toh Puan Raja Noora Ashikin juga pernah menjadi Presiden Persatuan Hoki Wanita Malaysia dan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang dikenali kerana memperjuangkan keadilan dan pembangunan hoki wanita di Malaysia.

-AA-

Tinggalkan komen anda