
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Masyarakat mempunyai persepsi dan menganggap Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai sebuah universiti swasta yang mengenakan yuran pengajian yang lebih tinggi berbanding Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Para pelajar disambut mesra oleh warga Komuniti Kampung KEDA Asam Jawa.
“Tanggapan tersebut adalah salah sama sekali dan menyebabkan ramai golongan cerdik pandai takut untuk mendaftar masuk ke UTP sedangkan UTP setiap tahun memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai kos pengajian terutamanya kepada pelajar miskin dan golongan B40,” kata Pensyarah UTP selaku Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Taib Ibrahim, ketika merasmikan Program Citra Malaysia Madani Purnama 2025 di Dewan Lestari, KEDA Asam Jawa, di sini petang semalam.
Program yang diadakan tersebut merupakan cetusan idea dari pelajar UTP yang ingin merasai pengalaman tinggal di kampung dan mempelajari cara hidup penduduk kampung di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara siswa dan masyarakat.
Dr. Taib dalam ucapannya turut menjelaskan bahawa Kampung KEDA Asam Jawa menjadi pilihan mereka kerana mempunyai pemandangan sawah padi yang cantik seluas mata memandang.

Sesi penyerahan para pelajar kepada keluarga angkat.
“Ini adalah bagi memberi peluang kepada para pelajar mempelajari cara menyesuaikan diri di mana sahaja mereka ditempatkan serta dapat merasai pengalaman baru iaitu masuk ke kawasan bendang,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut seramai 24 orang pelajar Melayu, lapan orang pelajar Ccina dan seorang pelajar India diserahkan kepada keluarga angkat yang tinggal di sekitar Kampung KEDA Asam Jawa.
Majlis turut diserikan dengan laungan marhaban oleh warga penduduk serta sesi sembang santai yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah Pendang bersama warga Komuniti MADANI Kampung KEDA Asam Jawa.
-ZS-