Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Yayasan TM dan KIDS Ringankan Beban, Santuni Golongan Rentan di Kelantan

By 21 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof

KUALA KRAI, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Lebih 50 keluarga asnaf dan ibu tunggal di sekitar daerah Kuala Krai menerima sumbangan dalam satu program kebajikan anjuran bersama Yayasan Telekom Malaysia (Yayasan TM) dan Pertubuhan Prihatin Kanak-kanak Kelantan (KIDS) yang berlangsung di sebuah pusat komuniti, di sini kelmarin.

Saudah (kiri) menerima sumbangan daripada Yayasan TM dan Kids.

Sumbangan berupa barangan keperluan asas dan pakaian disalurkan kepada golongan sasar sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan Yayasan TM dalam membantu komuniti yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurut pihak penganjur, program ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban kehidupan golongan kurang berkemampuan, tetapi juga sebagai usaha memperkukuh semangat kekitaan dan mewujudkan jaringan sokongan komuniti yang lebih erat.

Salah seorang penerima bantuan Che Zainun Che Mat, 65, menyifatkan bantuan yang diterima amat besar ertinya kepada beliau dan keluarganya.

“Saya sangat berterima kasih kepada Yayasan TM atas keprihatinan ini.

“Bantuan seperti ini amat bermakna bagi kami yang berdepan dengan kesukaran harian. Ia bukan sahaja meringankan beban, tetapi memberi semangat untuk terus berusaha demi anak-anak,” ujarnya penuh syukur.

Che Zainun (kiri) menerima sumbangan.

Turut berkongsi rasa yang sama, Saudah Ali, 65, yang tergolong dalam kategori asnaf, berkata kehadiran syarikat korporat dan pertubuhan prihatin amat diperlukan dalam membantu golongan sepertinya.

“Saya harap lebih banyak syarikat tampil membantu komuniti seperti ini,” katanya.

Program seumpama ini membuktikan peranan penting kerjasama antara sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memelihara kebajikan masyarakat dan membina Malaysia MADANI yang lebih inklusif dan sejahtera.

-ZS-

Tinggalkan komen anda