Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Yee Shang Perkukuh Perpaduan dan Warisan Komuniti MADANI Harmoni Saratok

By 54 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Jane Chua Choo Kim / Florence Sebastian Unting (Sarawak)

SARATOK, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Yee Shang, atau dikenali sebagai Yusheng dalam bahasa Mandarin dan Yusang dalam Kantonis, bukan sekadar sajian istimewa, tetapi lambang warisan budaya yang sarat dengan nilai-nilai murni seperti perpaduan, kesejahteraan, dan kelimpahan rezeki.

Bagi Komuniti MADANI Harmoni di Saratok, amalan menyediakan Yee Shang secara bersama telah menjadi tradisi tahunan yang bukan sahaja menghidupkan semula budaya turun-temurun, malah merapatkan hubungan antara ahli komuniti pelbagai latar belakang.

Syak Yaik Min (dua dari kiri) bersama ahli Komuniti MADANI Harmoni berganding bahu menyediakan Yee Shang – lambang keaslian dan perpaduan warisan budaya.

Ketua Komuniti MADANI Harmoni, Syak Yaik Min, 70, berkata penyediaan Yee Shang secara bergotong-royong memperkukuh nilai kebersamaan yang menjadi teras keharmonian komuniti mereka.

“Pemilihan bahan-bahan segar seperti lobak merah, lobak putih dan sengkuang sangat penting bagi mengekalkan rasa autentik dan manfaat kesihatan hidangan ini. Kami tidak menggunakan pewarna tiruan atau bahan pengawet demi menjaga keaslian resipi tradisional,” jelas beliau ketika di temu bual semalam.

Ngui Ah Lan, seorang warga emas berusia 95, turut berkongsi pandangannya tentang makna sebenar tradisi ini.

Menurut beliau, penyediaan Yee Shang bukan sekadar aktiviti memasak tetapi wadah untuk mempererat hubungan kekeluargaan dan komuniti.

Ahli Komuniti MADANI Harmoni menghidupkan semula tradisi turun-temurun Yee Shang, mempererat hubungan serta memelihara budaya warisan nenek moyang.

“Dulu, setiap kali musim perayaan, seluruh keluarga akan berkumpul untuk menyediakan Yee Shang. Bukan sekadar makanan, tetapi masa yang diluangkan bersama dan kasih sayang yang terjalin amat bermakna. Saya harap semangat ini akan terus hidup,” katanya dengan penuh harapan.

Tambah beliau, penglibatan generasi muda dalam aktiviti ini amat menggembirakan dan menjadi petunjuk bahawa nilai-nilai budaya masih dihargai dan diwarisi.

Komitmen Komuniti MADANI Harmoni dalam memelihara amalan seperti ini mencerminkan usaha berterusan mereka ke arah mengekalkan keharmonian, perpaduan dan jati diri bangsa.

Tradisi Yee Shang yang terus diamalkan menjadi simbol penyatuan antara generasi lama dan muda, demi masa depan yang lebih sejahtera.

-RJ-

Tinggalkan komen anda