
Laporan/foto: Mohamad Faizzad Kamal (Batang Padang)/Nurul Amni Abdullah
IPOH, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson mendapat pendedahan berharga berkaitan kelestarian alam sekitar melalui Be Green Outreach Programme PETRONAS X UiTM SULAM Initiative.
Program anjuran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah dengan kerjasama Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) ini memberi fokus kepada pemahaman pelajar mengenai penggunaan plastik secara bertanggungjawab serta amalan kelestarian.

Para pelajar menyelesaikan tugasan eksplorasi.
Penolong Rektor UiTM Tapah Dr. Ahmad Zoolhelmi Alias dalam ucapannya menekankan peranan penting generasi muda sebagai ejen perubahan dan pewaris masa depan yang lestari.
“‘Generasi Lestari: Plastik, Kelestarian dan Anda’ ini dikendalikan oleh 53 mahasiswa Diploma Sains UiTM yang bertindak sebagai fasilitator dan mentor kepada para pelajar.
“Melalui pendekatan interaktif, pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan explorace (penerokaan), kuiz alam sekitar, permainan kitar semula dan ceramah inspirasi,” katanya.
Menurutnya lagi, aktiviti-aktiviti yang diadakan bukan sahaja memberi kesedaran tentang kesan pencemaran plastik, malah turut mengasah kemahiran insaniah pelajar seperti komunikasi, kreativiti dan kerja berpasukan.
“Pendedahan ini secara langsung membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan pelajar terhadap penjagaan alam sekitar,” ujarnya.
Pengetua SMK Anderson Shamsahhimi Harun turut menzahirkan penghargaan atas peluang yang diberikan kepada sekolah untuk menjadi tuan rumah program berimpak tinggi ini.
“Pelajar SMK Anderson nyata bersemangat untuk menyebarkan mesej kelestarian ke peringkat yang lebih luas hasil penglibatan dalam program ini,” ujarnya ketika ditemui, kelmarin.
Sebagai simbol komitmen berterusan terhadap kelestarian, pihak UiTM dan PCG turut menyerahkan sangkar pengumpulan plastik kitar semula kepada pihak sekolah.
-ZS-