Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

20 Pos Masyarakat Orang Asli Terima Daging Korban daripada MAIK

By 20 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar/Amirul Faisal Rastan

GUA MUSANG, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Sebanyak 59 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di 20 pos penempatan dalam satu program Majlis Ibadah Korban Perdana anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang berlangsung di Kampung Kuala Betis, di sini semalam.

Tengku Mahkota Kelantan memyempurnakan Majlis Ibadah Korban Perdana di Kuala Betis.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIK Yang Berhormat Mulia (YBM) Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Datuk Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Menurut Tengku Mohamad Rizam, program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat Orang Asli tentang kepentingan dan pengertian sebenar ibadah korban, terutama sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Ibadah korban bukan hanya amalan simbolik, tetapi satu ibadah yang mendidik tentang erti pengorbanan, kesyukuran serta merapatkan hubungan sesama umat,” katanya.

Selain daging korban, MAIK turut mengagihkan bakul makanan kepada penduduk bagi memperkukuh hubungan antara komuniti dan institusi agama.

Kehadiran Tengku Temenggong dan Tengku Puan Temenggong dan para jemputan khas.

Turut hadir Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan Tengku Puan Temenggong Kelantan YTM Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan.

Tok Batin Pos Blau Salleh Kamaruddin, melahirkan penghargaan atas sumbangan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai satu usaha murni yang amat bermakna.

“Ramai dalam kalangan kami tidak berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban sendiri. Program sebegini bukan sahaja membawa kegembiraan, malah memperlihatkan semangat kesamarataan dan kepedulian,” ujarnya.

Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan pemahaman agama Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli, di samping mempererat ikatan silaturahim sesama masyarakat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda