
Laporan/foto: Mohd Faizal Mat Akhir/Pejabat Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
BUKIT GELUGOR, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Program agihan cermin mata percuma kepada murid sekolah rendah di Pulau Pinang yang bermula sejak Mac lalu melabuhkan tirainya, kelmarin dengan majlis penyerahan akhir yang berlangsung meriah di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor.

Dr. Mohamad hadir menyempurnakan agihan terakhir cermin mata yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor.
Majlis tersebut menandakan penyempurnaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran bersama Wakalah Zakat Etiqa General Takaful dan Yayasan Sahabat Bina Negara dengan kerjasama erat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Secara keseluruhan seramai 2,500 murid di lima daerah menerima manfaat daripada program ini dengan jumlah sumbangan mencecah RM500,000.
Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, yang menyifatkan sumbangan tersebut sebagai langkah penting dalam membantu murid yang mengalami masalah penglihatan.

Para pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor menyantuni kunjungan Dr. Mohamad.
“Peningkatan kes rabun dalam kalangan murid sekolah rendah memerlukan tindakan segera dan bersasar.
“Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi juga berpotensi meningkatkan prestasi akademik anak-anak kita,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang serta wakil-wakil agensi terlibat.
Sementara itu, MAINPP memaklumkan bahawa pihaknya menyasarkan kutipan zakat melebihi RM200 juta tahun ini bagi memperluas lagi inisiatif pendidikan dan kebajikan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negeri.
-ZS-