
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Mohd Jafni Md Shukor (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 902 terdiri daripada golongan B40 menerima Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menerusi inisiatif Program Mega Housing One Stop Centre (J-HOME OSC) Daerah Johor Bahru.

Onn berkata Kerajaan Negeri akan terus mendengar suara rakyat, menyusun dasar progresif, dan melaksanakan program dengan cekap dan tidak mahu mana-mana keluarga tercicir daripada arus pembangunan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata program yang diadakan ini merupakan hasil usaha daripada Kerajaan Negeri bersama pemaju dan institusi kewangan khusus untuk membantu rakyat negeri ini mendapatkan rumah sendiri.
“Inisiatif yang diberikan ini akan diteruskan termasuk beberapa projek baharu akan datang iaitu membina rumah dalam kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Rumah Transit Bangsa Johor, program baik pulih rumah daif dan rumah percuma untuk miskin tegar di Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Pasir Gudang,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Layak Memiliki Rumah (SLMR) Rumah Mampu Milik Johor Daerah Johor Bahru di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini semalam.

Program Mega Housing One Stop Centre (J-HOME OSC) merupakan hasil usaha Kerajaan Negeri bersama pemaju dan institusi kewangan.
Sementara itu, Onn, berkata jumlah pembangunan RMMJ telah melonjak daripada 21,139 unit pada tahun 2022 kepada 100,000 unit setakat Mei tahun ini.
“Setakat ini, sebanyak 16,000 unit RMMJ telah siap dibina dan mula diduduki oleh rakyat Johor dan selebihnya dalam proses pembinaan dan ada yang telah siap tetapi masih belum boleh diduduki lagi,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad.
-ZS-