Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

AADK Pekan Mantapkan Komuniti Melalui Program Gegar Paya

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/AADK Pekan

PEKAN, 1 Jun (MalaysiaAktif) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pekan terus memperkasa komuniti dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah menerusi penganjuran Program Gegar Paya yang telah berjaya dilaksanakan di Paya Mukim Pahang Tua, di sini, semalam.

Acara sepakan penalti dalam paya yang disertai wanita

Program yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dadah serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam usaha pencegahan.

Pelbagai aktiviti telah diaturkan termasuklah sesi ceramah interaktif, pameran info dadah serta aktiviti sukaneka di paya yang berjaya menarik penyertaan dari pelbagai lapisan umur.

Mohamad Aminuddin Saad, (berbaju hijau) bersama jawatankuasa penyelarasan Gegar Paya

Fokus utama program ini adalah untuk menyampaikan maklumat tepat mengenai kesan buruk dadah kepada individu, keluarga dan masyarakat, di samping memupuk semangat kejiranan yang sihat sebagai benteng utama dalam membendung gejala ini.

AADK Pekan percaya bahawa pendekatan secara terus dengan komuniti adalah kunci utama dalam membina persekitaran yang selamat dan sejahtera.

Menurut Ketua Daerah AADK Daerah Pekan Mohamad Aminuddin Saad, Program Gegar Paya ini merupakan sebahagian daripada strategi berterusan AADK untuk mendekati dan mendidik masyarakat tentang bahaya dadah.

“Kami amat berbesar hati dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk Pahang Tua, kerjasama erat antara AADK dan komuniti adalah amat penting dalam memastikan generasi masa depan kita bebas daripada belenggu dadah dan dapat menyumbang secara positif kepada negara,” katanya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat terus melaporkan sebarang aktiviti berkaitan dadah bagi membolehkan tindakan segera diambil.

-AA-

Tinggalkan komen anda