
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Farid Abu Bakar (Pekan)
PEKAN, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 139 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari Parlimen Pekan diraikan dalam Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM 2024 Parlimen Pekan 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Ibnu Sina, Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF), di sini, semalam.

Datuk Seri Sh Mohmed Puzi ketika berucap pada majlis tersebut
Dalam ucapannya, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, Ahli Parlimen Pekan menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi tinggi dalam mencapai keputusan cemerlang.
Beliau menekankan bahawa majlis ini bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap usaha gigih anak-anak tempatan, tetapi juga merupakan suntikan semangat dan inspirasi buat generasi muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam setiap aspek kehidupan.

139 penerima bersama ibu bapa bergambar beramai-ramai
“Pencapaian anda semua adalah bukti bahawa dengan usaha dan kesungguhan, tiada apa yang mustahil.
“Teruskanlah mengukir kejayaan dan jadilah contoh teladan kepada rakan-rakan serta masyarakat,” ujar beliau.
Salah seorang penerima Nur Farhana Jamaluddin, 18, yang merupakan bekas pelajar di SMK Seri Pekan melahirkan rasa syukur.
“Alhamdulillah, sumbangan ini akan saya gunakan sebaiknya untuk belanja pembelajaran saya,” katanya.
Majlis Apresiasi ini merupakan inisiatif berterusan Parlimen Pekan dalam mengiktiraf dan menggalakkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan anak muda di daerah ini.
-AA-