
Laporan/foto: Mohd Taufiq Mohd Noor (Kubang Pasu)
CHANGLUN, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Air Terjun Sungai Kecil yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Perangin, di sini semakin mendapat perhatian sebagai destinasi riadah dan ekopelancongan baharu di utara Semenanjung Malaysia.

Pemandangan Air Terjun Sungai Kecil.
Terletak kira-kira 10 kilometer dari jalan utama, pengunjung perlu merentasi laluan mencabar termasuk sungai, hutan dan formasi batu besar sebelum tiba di air terjun yang berketinggian lebih 60 meter itu.
Selain pemandangan semula jadi yang menenangkan, kawasan ini turut menjadi lokasi pilihan bagi penggemar aktiviti lasak seperti merentas hutan, basikal lasak dan ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4×4).
Antara laluan yang sering digunakan adalah di kawasan Dusun Durian Teratak Chu Tiah yang juga menjadi titik permulaan kepada kebanyakan ekspedisi ke lokasi air terjun tersebut.

Pemandangan Air Terjun Sungai Kecil.
“Pengalaman meredah laluan hutan yang masih belum terusik memberikan cabaran tersendiri dan menjadikan perjalanan lebih bermakna,” kata pengunjung Muhammad Hanis Zakwan Md Zabata, 17, ketika ditemui kelmarin.
Pihak komuniti dan pencinta alam sekitar turut menyeru orang ramai supaya menjaga kebersihan dan tidak meninggalkan sampah di kawasan tersebut bagi mengekalkan keindahan semula jadi lokasi berkenaan.
Air Terjun Sungai Kecil dijangka berpotensi menjadi satu lagi tarikan pelancongan luar bandar jika dipelihara dan dibangunkan secara lestari dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat.
-ZS-