
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)/Urusetia Penerangan Darul Aman
PENDANG, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Warga Kedah khususnya pencinta sukan ekstrem dijemput bersiap sedia untuk menyaksikan sebuah acara penuh aksi dan mendebarkan yang bakal menggegarkan Tasik Pendang hujung minggu ini.
Buat kali kedua, Kedah International Radio-Controlled (RC) Powerboat Race akan berlangsung selama tiga hari bermula dari 13 hingga 15 Jun ini di lokasi ikonik iaitu Tasik Pendang yang bakal menjanjikan aksi kelajuan dan ketangkasan luar biasa dari bot kawalan jauh berkuasa tinggi bagi merebut gelaran juara peringkat antarabangsa.

Antara RC Powerboat yang digunakan untuk berentap dalam acara yang dipertandingkan.
Setiausaha Majlis Daerah Pendang Norfazni Mustaffa, ketika ditemui pagi ini, berkata objektif utama penganjuran program adalah bagi memperkenalkan sukan air yang semakin mendapat perhatian ini kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.
“Usaha ini juga adalah bagi menjadikan negeri Kedah khususnya daerah Pendang sebagai tumpuan peminat sukan air berskala kecil tetapi sarat dengan intensiti dan ketangkasan.
“Selain itu ia juga merupakan satu inisiatif strategik dalam usaha memajukan Tasik Pendang sebagai destinasi baharu sukan air dan pelancongan di utara Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Kedah International RC Powerboat Race yang kali pertama telah diadakan pada tahun lalu dan berjaya menarik 57 penyertaan daripada beberapa negara luar termasuk Vietnam, Thailand, Singapura dan Malaysia itu menjadi pendorong untuk mengadakan perlumbaan edisi kedua pada tahun ini dengan menjangkakan penyertaan yang lebih ramai.

Salah seorang peserta yang telah menyertai pertandingan RC Powerboat pada tahun lalu bersama bot miliknya.
Menurut Eksekutif Penyelarasan Acara dan Promosi Mohd Azril Shafie, acara perlumbaan akan berlangsung dalam tiga fasa utama iaitu fasa pertama merangkumi latihan dan percubaan untuk memberi peluang kepada para pelumba menguji keupayaan bot dan strategi perlumbaan manakala fasa kedua merupakan kategori perlumbaan pertandingan mengikut kelajuan dan kelas bot termasuk kategori popular seperti F3000 serta Fun Race.
“Fasa ketiga pula merupakan kemuncak acara di mana akan berlangsung pertandingan akhir dan majlis penyampaian hadiah yang menawarkan trofi dan hadiah menarik buat para pemenang sebagai sokongan kepada aksi menarik serta kehebatan dan ketangkasan kawalan bot di atas air,” ujarnya
Mohd Azril menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang menyaksikan kejohanan penuh debaran ini dan rasai sendiri kehangatan aksi RC Powerboat bertaraf antarabangsa yang julung kali diadakan di daerah Pendang.
-ZS-