
Laporan/foto: Mohamad Faizzad/Mazlini Mazlan (Batang Padang)
TAPAH, 4 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 10 orang anak yatim berumur antara 15 hingga 17 tahun dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning telah menyertai Bengkel Pembuatan Produk Kecantikan Berasaskan Bahan Semula Jadi yang berlangsung selama lima hari bermula 31 Mei di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah, di sini anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan (FSG) UiTM Kampus Tapah.

Pelajar diajar untuk membuat sabun daripada bahan semula jadi.
Menurut Pengarah Program Norsakina Zurina Zulkifli, sepanjang bengkel ini para peserta berpeluang mempelajari cara menghasilkan pelbagai produk kecantikan berasaskan bahan semula jadi seperti sabun, lip balm, masker dan scrub muka.
“Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan awal serta membentuk kemahiran asas dalam bidang formulasi produk penjagaan diri yang selamat dan mesra alam,” katanya hari ini.
Selain penghasilan produk, peserta turut diberikan pengetahuan mengenai aspek keselamatan bahan, teknik pembungkusan, pelabelan serta asas pemasaran dan penjenamaan produk yang dijalankan secara interaktif dan praktikal dengan bimbingan pensyarah serta tenaga pengajar berpengalaman daripada FSG UiTM Tapah.

Antara perserta lelaki Yusuf Farees yang turut serta kerana minat dalam pembuatan produk kecantikan.
Salah seorang peserta, Yusuf Farees Taib, 17, meluahkan rasa teruja dengan pengalaman yang diperolehinya sepanjang bengkel.
“Banyak sangat ilmu baharu yang saya dapat daripada program ini. Tak sangka saya boleh hasilkan sendiri produk seperti sabun, lip balm, skrub dan masker. Selalunya saya tengok orang jual saja, tapi sekarang saya dah tahu cara nak buat sendiri. Saya rasa sangat bertuah dan bangga kerana terpilih menyertai bengkel ini,” katanya.
Program ini menerima sambutan yang positif dan diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri Perak, khususnya golongan yang memerlukan bimbingan dan sokongan berterusan.
-ZS-