Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

APM Bukan Sekadar Penangkap Ular

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 2 Jun (MalaysiaAktif) – Persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa peranan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hanya sekadar penangkap ular perlu diubah kerana tanggapan ini menafikan sumbangan besar APM dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Pegawai Pertahanan Awam daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff (kanan) dalam sebuah majlis penyampaian sijil penyertaan Wall Climbing dan Scuba Diving.

Hakikatnya, APM merupakan antara agensi penting negara yang berperanan memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk memberikan bantuan kecemasan, menjalankan operasi menyelamat, menyumbang dalam pengurusan bencana dan ancaman keselamatan awam serta menyediakan perkhidmatan pemulihan pasca bencana bagi mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang kurang memahami tanggungjawab sebenar APM, menjadikan pasukan ini sering kali digelar sebagai wira yang tidak didendang.

Menurut Pegawai APM Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff, 41, pasukan ini sebenarnya merupakan barisan ketiga dalam sistem pertahanan negara selepas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

“APM merupakan entiti penting dalam memberikan bantuan kecemasan, pengurusan bencana serta penyelamat pantai apabila berlakunya insiden atau kecemasan,” ujarnya, di sini semalam.

Leftenan Yuslina, yang mula berkhidmat di Pendang sejak 1 Januari 2021, turut berkongsi bahawa antara cabaran terbesar sepanjang perkhidmatannya adalah semasa musim Monsun Timur Laut yang berlaku pada tahun tersebut, di mana operasi banjir perlu dijalankan serentak dengan penugasan berkaitan pandemik COVID-19.

Mengulas mengenai kerjaya dalam APM, beliau menyifatkannya sebagai satu bidang tugas yang menarik dan mencabar, khususnya bagi mereka yang berminat dengan tugas lapangan dan kerja kemanusiaan.

Leftenan Yuslina (dua dari kiri) dalam majlis istiadat sempena Sambutan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kedah.

“Bagi mereka yang berhasrat menyertai APM secara tetap beberapa syarat asas perlu dipenuhi antaranya calon mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf, mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) yang ideal serta calon juga mestilah tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau sabitan.

“Permohonan terbuka kepada lelaki dan wanita, dengan keperluan untuk bersedia bekerja lebih masa dan di luar kawasan,” jelasnya.

Beliau yang gemar meluangkan masa bersama keluarga pada hari cuti itu turut menyeru orang ramai agar lebih menghargai peranan yang dimainkan oleh APM serta menyokong usaha pasukan ini dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terpelihara.

-ZS-

Tinggalkan komen anda