
Laporan/foto: Noor Aini/Anuar Che Amat
PADANG BESAR, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Program Mini Akademi Asas Penerangan (ASAS) Negeri Perlis yang disertai Komuniti MADANI dari seluruh negeri di Balai Raya Felda Rimba Mas, di sini semalam memberi peluang kepada peserta meningkatkan literasi dan akses digital komuniti dengan kemahiran Mobile Video Editing, satu teknik suntingan video asas yang boleh dilakukan hanya menggunakan peranti mudah alih.

Asas penggunaan peranti turut dikongsikan kepada para peserta.
Ahli Komuniti MADANI Parlimen Kangar, Mohamad Man, 67, berkata sekiranya dahulu beliau hanya bergantung kepada kaedah tradisional untuk menyampaikan maklumat, namun kini warga emas berkenaan mampu berbuat demikian dengan lebih mudah dan pantas melalui kemahiran digital.
Beliau yang juga seorang pesara berkata ilmu baharu itu merupakan peluang untuknya terus berkhidmat dan berkongsi maklumat.
“Saya kini lebih faham cara menggunakan telefon bimbit untuk hasilkan video ringkas dan padat. Ia sangat membantu saya dalam menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan,” katanya.

Sesi foto bersama para peserta.
Tambahnya, kemahiran digital amat penting untuk menyesuaikan diri dalam era komunikasi moden ini.
Keterujaan para peserta jelas terpancar apabila melihat sendiri keberkesanan teknik suntingan ringkas tersebut.
Program berkenaan bukan sekadar memperkasa komuniti MADANI sebagai ejen penyampai maklumat kerajaan dengan cara yang lebih beretika dan berkesan melalui platform digital, tetapi ia juga sejajar dengan keperluan komunikasi digital masa kini.
-FN-