
Laporan/foto: Memi Yusoff/Norshazila Ahmad (Selangor)
SEPANG, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Peranan bapa sebagai pembentukan keluarga, pemimpin dan pencari nafkah utama keluarga telah diberi penghormatan istimewa hari ini sempena sambutan Hari Bapa 2025 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor yang berlangsung di Dewan Semarak, Cyberjaya.

Mohd Hairil ketika memberi ucapan perasmian Sambutan Hari Bapa 2025 LPPKN Selangor.
Dengan tema Ayahku Kapten Keluarga, program ini bukan sekadar meraikan Hari Bapa secara simbolik, malah menjadi medan menyemai kesedaran baharu tentang tanggungjawab lelaki moden dalam institusi keluarga masa kini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPPKN Mohd Hairil Md Akir, berkata sambutan ini adalah tanda penghargaan terhadap pengorbanan para bapa yang kini memainkan peranan lebih menyeluruh dalam rumah tangga.
“Peranan seorang ayah hari ini telah berubah, mereka bukan lagi sekadar pencari nafkah malah turut memikul tanggungjawab emosi, sosial dan pendidikan dalam keluarga seiring dengan perubahan norma masyarakat dan cabaran kehidupan moden,” katanya semasa merasmikan program tersebut, di sini hari ini.

Sebahagian peserta yang hadir sambutan Hari Bapa 2025 LPPKN Selangor.
Beliau berharap program seperti ini bukan saja menguatkan hubungan tetapi juga sebagai satu bentuk pelaburan sosial yang memberi impak jangka panjang.
Antara pengisian program termasuk Pocket Talk: Toxic Masculinity, Kental atau Koyak?, Forum Kesejahteraan Lelaki, Sembang Maskulin dan Wall of Fame Coretan Seorang Ayah yang memaparkan kisah-kisah menyentuh hati mengenai pengorbanan seorang bapa.
Sambutan turut dimeriahkan dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan swasta melalui pameran perkhidmatan serta jualan produk berkaitan keluarga, menjadikannya satu acara inklusif, informatif dan bermakna buat semua lapisan masyarakat.
-ZS-