
Laporan/foto: Lina Shukri (Perak)/Polis Daerah Gerik
GERIK, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Siasatan awal polis mendapati bas persiaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim telah melanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza di KM53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, di sini sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Noor Hisam ketika sidang media kepada pemberita.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin, berkata kejadian yang dipercayai berlaku antara pukul 12.30 tengah malam kelmarin hingga 1.00 pagi semalam membawa 42 pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun.
“Bas persiaran itu disewa khas oleh pelajar dan dalam perjalanan pulang dari Jertih, Terengganu ke UPSI.
“Ekoran daripada kemalangan yang berlaku, 13 pelajar meninggal di tempat kejadian dan di hantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala dua orang di Hospital Daerah Gerik untuk proses bedah siasat,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, semalam.
Menurutnya, selain itu, 27 orang cedera terdiri daripada 23 pelajar perempuan dan empat lelaki termasuk pemandu bas dan pembantunya.
“Kenderaan MPV yang turut terlibat dalam kemalangan dinaiki oleh sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan berusia enam tahun dan seorang lelaki tiga tahun.
“Kesemua mereka dihantar ke Hospital Baling, Kedah untuk mendapatkan rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
-ZS-