
Laporan/foto: Abassalimi Mohamad (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat bagi Daerah Batu Pahat bagi sesi 2025/2026 telah berlangsung dalam suasana penuh muafakat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Mohd Farid menyempurnakan sesi penyerahan Surat Pelantikan kepada Ketua Kampung yang baharu.
Pegawai Daerah Batu Pahat Mohd Farid Kassim, berkata peranan utama ketua kampung sebagai pemimpin akar umbi yang dekat dengan masyarakat, bukan sekadar gelaran yang disandang.
“Saya ingin menegaskan jawatan ketua kampung adalah satu amanah yang menuntut semangat, integriti, komitmen serta kerajinan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk.
“Semua ketua kampung dan ketua masyarakat perlu bekerjasama erat dengan pihak pentadbiran daerah, wakil rakyat serta penghulu mukim dalam memastikan segala perancangan pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat Daerah Batu Pahat 2025/2026.
Mohd Farid, berkata seramai 173 ketua kampung dan 20 ketua masyarakat telah dilantik bagi sesi kali ini.

Seramai 173 ketua kampung dan 20 ketua masyarakat telah dilantik bagi sesi 2025/2026.
“Mereka turut diingatkan untuk memahami aspirasi, visi dan misi Kerajaan Negeri Johor, khususnya dalam menjayakan agenda ‘Maju Johor’ demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Pada majlis tersebut turut disusuli dengan lafaz Ikrar Aku Janji Perkhidmatan yang diketuai oleh Ketua Kampung Sungai Suluh, Mukim Minyak Beku, Mohd Kamaruddin Shah Kamari, sebagai tanda komitmen dan kesiapsiagaan para pemimpin akar umbi untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh dedikasi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah Mohd Fareed Mohd Khaled, ADUN Parit Raja Nor Rashidah Ramli dan ADUN Parit Yaani Mohamad Najib Samuri.
-ZS-