
Laporan/foto: Hanafi Sariman
GEORGE TOWN, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Menyuntik nafas baharu dalam dunia kulinari tempatan, restoran BIP Fish & Chip kini membuka cawangan pertamanya di tengah-tengah bandar warisan George Town, menjanjikan pengalaman menjamu selera yang berbeza kepada penggemar makanan barat dengan sentuhan tempatan.

Pembukaan restoran meriah dengan sambutan masyarakat setempat.
Restoran ini tampil membawa kelainan dengan menawarkan Fish & Chip klasik yang diinovasikan dengan sentuhan premium, menekankan pada kesempurnaan rasa rangup di luar lembut di dalam hasil ciptaan eksklusif Chef Azmi Affandi, pemilik restoran yang berpengalaman dalam dunia kulinari.
Menurut Azmi, restoran ini bukan sahaja menampilkan sajian barat yang ikonik malah turut memperkenalkan pelbagai menu sampingan bercita rasa tempatan seperti nasi lemak serta Durian Spring Roll, gabungan unik yang dijangka memikat selera pelbagai lapisan masyarakat.
“Pulau Pinang dikenali sebagai syurga makanan, justeru kami yakin pemilihan lokasi ini tepat kerana masyarakat di sini amat terbuka kepada kepelbagaian dan inovasi dalam makanan,” katanya.

Teh Lai Heng mencuba perkhidmatan kiosk layan diri yang disediakan.
Azmi turut berkongsi pihaknya merancang untuk membuka empat lagi cawangan di sekitar Pulau Pinang sebelum melebarkan sayap ke negeri Kedah dan seluruh negara dalam usaha menjadikan BIP Fish & Chip jenama tempatan yang unggul.
Majlis pembukaan restoran disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar Teh Lai Heng, semalam dan turut disambut meriah dengan kehadiran masyarakat setempat dan para pengunjung yang tidak melepaskan peluang merasai sendiri keunikan menu yang ditawarkan.
Dengan kombinasi elemen tempatan dan barat yang unik, BIP Fish & Chip bersedia menjadi destinasi pilihan utama buat pencinta makanan yang mencari kelainan dalam setiap sajian.
-ZS-