Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bowling Inklusif Eratkan Perpaduan dan Angkat Keupayaan OKU

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Sunday Grace Justimus / Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah (Kota Kinabalu)

Kota Kinabalu, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Pertandingan Bowling Mesra Inklusif berjaya mengukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama antara komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) kategori penglihatan, agensi kerajaan dan masyarakat.

Zaini Jainudin muncul juara kategori individu OKU penglihatan.

Pengerusi penganjur, Vilina Passon John berkata ia bukan sekadar medan pertandingan, malah berperanan sebagai platform memupuk perpaduan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap prestasi OKU dalam bidang sukan.

“Pertandingan ini bukan sahaja menjadi wadah membina persahabatan, malah mengukuhkan semangat inklusif dan menyokong dasar kerajaan dalam memperkasa komuniti OKU selaras dengan prinsip pembangunan inklusif dan aspirasi masyarakat MADANI,” katanya.

Dg. Lapuan menerima anugerah jumlah pin tertinggi wanita.

“Saya berharap program seumpama ini dapat dianjurkan secara berkala dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang memupuk nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya ketika berucap pada Pertandingan Bowling Mesra Inklusif di Striker’s Bowl Lawn, Sutera Harbour, Marina Club di sini, pada Sabtu.

Anthony Atiu merangkul anugerah jumlah pin tertinggi lelaki bagi kategori individu bukan OKU penglihatan.

Pertandingan itu melibatkan penyertaan daripada dua kategori iaitu OKU penglihatan dan bukan OKU penglihatan membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran, Sekolah Pendidikan Khas Tuaran dan peserta terbuka berumur 18 tahun ke atas.

Sementara itu, kategori bukan OKU penglihatan disertai wakil agensi seperti Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Air Negeri Sabah dan Jabatan Kerja Raya Mekanikal Putatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda