Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Bubur Asyura Versi Kedah Paling Digemari Serata Malaysia

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Keenakan bubur Asyura versi Kedah yang terkenal dengan rasa lemak manis dan tekstur yang pekat terus menjadi kegemaran ramai bukan sahaja warga Kedah malahan oleh para penggemarnya yang berada di seluruh negara.

Terbaru, sempena sambutan awal Muharam tahun ini, sebanyak enam kawah bubur Asyura telah dimasak secara bergotong-royong oleh Komuniti MADANI Kampung Sungai Durian dalam program JIWA Komuniti MADANI@Sembang Santai, di sini pagi semalam.

Kacang hijau antara bahan utama yang dibahagi sama rata untuk enam kawah.

Program yang berlangsung meriah ini disertai oleh penduduk Kampung Sungai Durian dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Pejabat Penerangan Daerah Pendang, Pejabat Perpaduan Daerah Pendang, Jawatankuasa Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sungai Durian.

Aktiviti memasak bermula seawal pukul 8.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 4.00 petang dengan para penduduk mengambil giliran mengacau bubur selama berjam-jam bagi memastikan keenakan dan kepekatannya terjamin.

Menurut salah seorang petugas selaku ketua memasak Rosmawati Salleh, 60, keistimewaan bubur Asyura Kedah terletak pada cara memasaknya yang menggunakan kawah besar serta tempoh memasak yang panjang iaitu sekitar tiga jam.

“Setiap kawah memerlukan pelbagai jenis bahan khusus seperti empat kilogram (kg) santan, empat kg gula, tujuh kg tepung beras, 850 gram tepung jagung, empat tin jagung manis, tiga kg kacang hijau, dua kg kacang kuda dan tiga kg kacang goreng.

“Kos yang diperlukan bagi setiap satu kawah dianggarkan antara RM350 hingga RM400,” jelasnya.

Selesai menyediakan bahan untuk memasak, para peserta menikmati jamuan minum pagi.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Kampung Sungai Durian Mohd Khir Hamid, 61, ketika ditemui, memaklumkan bahawa bubur Asyura bukan sekadar makanan tradisi malah lambang perpaduan dan kesepakatan dalam kalangan masyarakat.

“Bubur ini hanya dapat dihasilkan dengan kerjasama dan semangat gotong-royong kerana ia mencerminkan nilai perpaduan yang terjalin dalam komuniti ini.

“Program sebegini bukan sahaja memelihara warisan budaya, malah memperkukuh silaturahim dalam kalangan penduduk pelbagai latar belakang di daerah ini,” ujarnya.

-FN-

Tinggalkan komen anda