
Laporan/foto: Noor Sazarina/Mohd Nizam (Petaling)
SUNGAI BULOH, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Pusat Komuniti Desa Paya Jaras, di sini kelmarin meriah dengan kehadiran lebih 200 orang penduduk yang tidak melepaskan peluang menjalani pemeriksaan kesihatan percuma sempena Program Cakna Kesihatan Komuniti Paya Jaras.

Kaunter pemeriksaan pergigian.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Paya Jaras Hilir Mohd Aliff Mohd Ali, program sebegini penting untuk membuka mata masyarakat supaya lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing.
“Kami mahu penduduk sedar betapa pentingnya menjaga kesihatan, ada dalam kalangan kita yang tidak tahu sekiranya mempunyai penyakit contohnya seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis, jadi peluang pemeriksaan percuma ini jangan dilepaskan,” katanya.
Bagi penduduk, program ini umpama ‘klinik bergerak’ yang memudahkan mereka membuat pemeriksaan tanpa perlu beratur panjang di klinik.
Salah seorang peserta Rohani Rashid, 53, mengakui program ini sangat membantunya.

Pameran pergigian sempena Program Cakna Kesihatan.
“Biasanya saya sibuk bekerja susah hendak ke klinik tetapi hari ini saya dapat periksa semuanya dalam satu tempat, memang terbaik!” ujarnya sambil tersenyum.
Program anjuran Komuniti MADANI Kampung Paya Jaras Hilir dengan kerjasama Fakulti Pergigian UiTM Sungai Buloh dan Hospital UiTM Puncak Alam ini menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya pemeriksaan mata, pemeriksaan gigi dan ceramah kesedaran kesihatan serta saringan kesihatan.
Program berakhir sekitar pukul 5.00 petang dan pihak komuniti bercadang untuk menganjurkannya secara berkala dengan lebih banyak perkhidmatan kesihatan pada masa depan.
-ZS-