
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
KLANG, 12 Jun (MalaysiaAktif) – Berkonsepkan rumah tradisional Melayu dan suasana kampung yang mendamaikan, Warung Cendol Wak Paad yang terletak di Kampung Rantau Panjang, di sini menjadi tumpuan ramai selepas tular di TikTok sejak tahun 2021.
Warung ini, diusahakan oleh Siti Zulaika Supaad, 28, yang menyambung legasi perniagaan cendol ayahnya sejak tahun 1990.

Warung Cendol Wak Paad yang terletak di Jalan Haji Musran, Kampung Rantau Panjang, Klang berkonsepkan rumah tradisional Melayu membangkitkan nostalgia klasik kepada pengunjung yang datang.
“Resepi cendol ini, daripada ayah saya yang mula berniaga di tapak pasar malam Rantau Panjang sehingga tahun 2004, namun ayah terpaksa berhenti berniaga disebabkan faktor kesihatan,” ujar Siti Zulaika, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Warisan dari Universiti Malaysia Kelantan.
Selepas tamat pengajian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada tahun 2021, Zulaikha yang ketika itu tiada pekerjaan, mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan legasi keluarganya.
“Saya tak mahu resepi cendol keluarga saya ini, terkubur begitu sahaja kerana masih ada permintaan daripada pelanggan, oleh itu saya nekad belajar dengan ayah cara buat cendol warisan keluarga saya,” katanya sambil tersenyum mengenang detik permulaan perniagaannya.
Dengan hanya bermodalkan RM1,000, Zulaika mula berniaga cendol di hadapan Surau Haji Musran, pada awal tahun 2021, namun sekitar Oktober 2021 beliau berpindah membuka warungnya di hadapan rumahnya kerana mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
“Saya tak sangka, warung saya ini viral (tular) selepas saya promosikan melalui TikTok, pelanggan datang tak putus-putus, masa tu saya belajar sendiri cara uruskan pelanggan, tambah baik perkhidmatan kepada pelanggan serta kemaskan ruang makan,” ujarnya.

Zulaika(Tengah) bersama pekerjanya yang ceria menerima pelanggan yang berkunjung ke Warung Cendok Wak Paad yang dibuka setiap hari selasa hingga ahad bermula pukul 11.30 pagi hingga 5.30 petang.
Kini, Warung Cendol Wak Paad bukan sekadar menjual cendol asli, tetapi turut menyajikan lebih 30 menu termasuk air batu campur, nasi ayam penyet, mee bandung, laksa serta pencuci mulut moden seperti jeli koktel limau dan ais jeli longan.
“Warung ini bukan sekadar menjual makanan, tetapi juga merupakan ruang untuk memelihara warisan keluarga saya, dan saya gunakan ilmu pengajian warisan saya untuk menghias warung ini dengan barang-barang lama kepunyaan ibu bapa saya,” jelasnya.
Kini Warung Cendol Wak Paad mempunyai tujuh orang pekerja dan turut menerima tempahan cendol untuk katering majlis perkahwinan serta rumah terbuka.
“Saya merancang pada masa hadapan untuk membuka kedai makan masakan Melayu dan berkonsepkan makanan hidangan warisan,” katanya yang ditemui semalam di warungnya.
-ZS-