
Laporan/foto: Aniss Rahin/Yusof Bistamam (Perak Tengah)
KAMPONG GAJAH, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Penanaman fertigasi secara terbuka menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman cili walaupun memerlukan modal yang tinggi terutama untuk kos pembinaan struktur dan teknologi pengairan.

Tapak projek tanaman cili fertigasi yang diusahakan.
Namun, dengan adanya geran SejaTi MADANI, kekangan ini mampu diatasi seterusnya dapat mengembangkan produk di Kampung Bandar Baru Seberang Perak, di sini.
Menurut usahawan tani Muhammad Firdaus Norhisham, 30, penanaman ini bermula dengan sekadar ingin mencuba sahaja.
“Penanaman cili secara fertigasi ini lebih mudah dan senang dikawal daripada cara konvensional kerana sistem teknologi pengairan dan pembajaan dilakukan secara serentak dan automatik.
“Malah, aliran kuantiti air baja yang sama juga dapat memastikan tumbesaran pokok cili tumbuh dengan seragam,” ujarnya ketika ditemui, semalam.
Katanya lagi, bagi tanaman cili fertigasi, kualiti air seperti nilai pH bagi tahap keasidan dan kealkalian air sangat penting dan mempengaruhi pengeluaran hasil yang setara.
“Nilai pH yang disyorkan untuk penanaman cili fertigasi ini adalah sekitar antara 5.5 hingga 6.5,” ujarnya.

Hasil tuaian cili fertigasi.
Tambah Muhammad Firdaus Norhisham, dengan adanya minat dan usaha dalam mengikuti beberapa siri kursus dan latihan ianya dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan inovasi teknikal pertanian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bandar Baru Seberang Perak Zainuddin bin Ismail, 59, menyambut baik usaha anak muda dan memberi sokongan penuh kepada mereka yang ingin menceburi bidang pertanian ini.
“Projek ini telah membuktikan bahawa pertanian dengan pendekatan lebih moden dan sistematik ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sebaliknya mampu membawa pulangan yang lumayan hasil daripada produk kampung sahaja”, katanya.
-ZS-