
Laporan/Foto : Nor Hidayah Ismail/Bahtiar Rambli/ Ignatius Golen/ Sulpren Saka (Sarawak)
BINTANGOR, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Bahagian Sarikei Tahun 2025M/ 1446H-1447H yang bertempat di Masjid Darul Taqwa Bintangor semalam telah dijuarai oleh Ahmad Mukhlis Yahya dan Dayang Nurfarhatunnisa Awang Nurizal sekaligus mengenepikan cabaran peserta lain dalam pertandingan tersebut.

Dayang Nurfarhatunnisa mempertahankan kejuaraan Qariah peringkat bahagian Sarikei di MTQ tahun 2025M/ 1446H-1447H.
Nurfarhatunnisa, 22, yang merupakan johan bagi pertandingan yang sama di Sarikei pada tahun lepas mengekallan kejuaraannya bagi mewakili Bahagian Sarikei ke peringkat Negeri akan datang dengan peratusan 89% markah keseluruhan mengalahkan lima peserta lain.
Manakala Ahmad Mukhlis, 33, pula menjuarai dengan peratusan 95% markah mengenepikan lima cabaran peserta lain termasuk juara tahun lepas iaitu Awang Nurizal Awang Kenit yang meraih tempat kedua pada pertandingan tersebut.

Juara MTQ Peringkat Bahagian Sarikei, Ahmad Mukhlis (3 dari kanan) menerima hadiah wang tunai, piala dan sijil yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rahim.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada amalan membaca Al-Quran secara konsisten bersama keluarga setiap kali selepas solat fardu. Ia adalah usaha murni dalam memartabatkan Al-Quran dalam kehidupan seharian, di samping mengharap redha dan rahmat Allah,” kata Dayang ketika ditemui.
Johan Qari dan Qariah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala dan sijil penyertaan. Naib Johan menerima RM700, tempat ketiga RM500, manakala peserta lain menerima saguhati RM100 dan sijil.
-RJ-