Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Dulu Hampir Bankrap, Kini Miliki Tiga Kafe

By 12 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Elfisyah Zulhairul (Selangor)

SHAH ALAM, 19 Jun (MalaysiaAktif) – Pernah rugi hampir sejuta ringgit, pernah juga menjadi mangsa pinjaman wang tanpa lesen, tetapi tidak pernah berhenti berniaga.

Itulah realiti perjalanan hidup seorang usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Hisham Hashim, 58, yang kini memiliki tiga buah perniagaan makanan dan minuman (F&B) di sekitar Shah Alam.

Medan selera Anggerik Mall yang terletak di tingkat 1 sentiasa menjadi pilihan pelanggan kerana harga makanan yang ditawarkan murah dan berpatutan

Berbekalkan semangat tidak mudah putus asa, Hisham memulakan perniagaan minuman, D’Best Café & Catering sejak 2007 di Anggerik Mall yang ketika itu masih kurang dikenali namun, segalanya berubah apabila Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor mula beroperasi di bangunan yang sama pada tahun 2018.

“Alhamdulillah, sejak UTC beroperasi di sini, pendapatan kami sebagai usahawan MARA terutamanya peniaga di medan selera meningkat hampir tiga kali ganda,” jelas beliau yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Usahawan Anggerik Mall (PUAM).

Sejak UTC beroperasi di Anggerik Mall, ramai pelanggan berurusan di sini seterusnya meningkatkan pendapatan usahawan MARA

“Saya berterima kasih kepada pihak MARA kerana menyediakan ruang niaga di sini, dengan bayaran sewa antara yang termurah di Shah Alam, menyediakan kursus keusahawanan secara percuma serta pinjaman tanpa faedah kepada usahawan MARA.

“Selain itu, kami juga menerima bantuan daripada kerajaan negeri menerusi Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) yang menyediakan bantuan dari segi peralatan perniagaan seperti dapur, mesin basuh pinggan, pengisar dan lain-lain lagi,” katanya yang ditemui semalam di Medan Selera, Anggerik Mall.

Menurut Hisham, selaku Pengerusi PUAM yang menaungi 70 usahawan MARA di Anggerik Mall, melihat sendiri bagaimana sokongan MARA dan kerajaan negeri mampu mengubah nasib ramai peniaga kecil.

“Saya pernah bankrap, pernah kena tipu hampir RM1 juta oleh rakan niaga, pernah pinjam daripada Ahlong untuk meneruskan perniagaan, tetapi saya belajar dari kesilapan dan tidak putus asa,” kata Hisham yang kini mengendalikan tiga buah gerai minuman serta mempunyai perniagaan mesin vendor di Selangor.

Misi beliau pada masa hadapan ingin menceburi perniagaan francais dalam industri makanan dan minuman yang kini semakin popular di Malaysia.

“Terima kasih kepada MARA dan kerajaan negeri, saya bersyukur jadi anak Selangor, tak semua negeri ada peluang seperti ini,” katanya berseloroh mengakhiri perbualan.

-AA-

Tinggalkan komen anda