
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Dataran Bandar Baharu menjadi tumpuan ribuan pengunjung sepanjang empat hari penganjuran festival durian terbesar di utara tanah air iaitu Durian Agro Tourism Fest 2025 yang berlangsung dari 26 hingga 29 Jun lepas.
Pesta berkenaan menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna, menghias kek, pakaian beragam kanak-kanak, memasak dan memancing udang galah selain lebih 50 gerai jualan makanan dan produk tempatan turut memeriahkan suasana.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah beramah mesra bersama rakyat. dan pengunjung Durian Agro Tourism Fest 2025.
Menurut Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan dan Korporat Majlis Daerah Bandar Baharu Muhamad Nur Syafiq Norasri, festival itu bukan sahaja menjadi platform pelancongan, malah membuka peluang perniagaan kepada peniaga kecil tempatan.
“Sambutan sangat menggalakkan, bukan sahaja daripada penduduk sekitar malah pelawat dari luar daerah. Festival ini juga berjaya menjana pendapatan komuniti melalui penyertaan dan jualan sepanjang program,” katanya, di sini semalam.
Majlis perasmian diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang mencemar duli menyempurnakan pelancaran rasmi festival, menjadikannya lebih bermakna kepada pengunjung.
Rosmawati Abu Kassim, 59, yang hadir bersama keluarga melahirkan rasa teruja kerana dapat melihat Raja Muda Kedah secara dekat buat pertama kali.

Rosmawati teruja kerana pertama kali dan dapat berjumpa dengan penyanyi Jamal Abdillah yang turut membuat persembahan.
“Saya tidak pernah berpeluang melihat kerabat diraja Kedah secara langsung. Kali ini memang pengalaman paling berharga,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Nurelyana Abd Rashid, 42, turut berkongsi keterujaannya apabila berpeluang bertemu artis kegemarannya, Jamal Abdillah.
“Saya peminat setia Raja Pop Malaysia. Sangat seronok kerana dapat bawa keluarga turut serta dan sertai pelbagai aktiviti yang menyeronokkan,” katanya.
Festival itu membuktikan bahawa kombinasi pelancongan berasaskan pertanian, hiburan dan komuniti mampu memberi impak positif kepada ekonomi tempatan serta memperkenalkan Bandar Baharu sebagai destinasi pelancongan agro yang menarik.
-FN-