
Laporan/foto: Noorhayati Aziz/Muhammad Nashran (Kampar)
IPOH, 4 Jun (MalaysiaAktif) – FAMA Fest 2025 @ Perak edisi ketujuh kembali dengan lebih meriah serta menampilkan pelbagai pengisian menarik untuk seisi keluarga bermula 29 Mei hingga 2 Jun lalu, bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini.
Program ini telah menerima lebih 150,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri sekali gus, menjadi antara penganjuran terbesar di bawah inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak bagi memartabatkan produk agromakanan tempatan.

Gerai buah-buahan FAMA menjadi tumpuan utama pengunjung.
“FAMA Fest turut menyediakan segmen Empayar Makanan dan Food Truck yang menawarkan lebih 400 menu makanan tempatan yang unik dan menarik kepada para penggemar makanan,” ujarnya.
Jelas beliau, antara segmen lain yang turut mencuri tumpuan ialah florikultur, pameran agensi dan perkhidmatan kerajaan di bawah Kaunter Khidmat Pelanggan, serta pelbagai acara interaktif yang dirangka untuk menarik kehadiran pengunjung pelbagai peringkat umur.
“Antara acara yang mendapat sambutan termasuklah Pertandingan Suara AgroStar, senamrobik, ceramah motivasi oleh Datuk Ustaz Kazim Elias, serta persembahan khas daripada kumpulan XPDC dan SYJ.
“Semua ini dirancang bagi memastikan FAMA Fest bukan sahaja menjadi platform niaga, tetapi juga medan hiburan dan ilmu buat seluruh keluarga,” katanya.
Menurut salah seorang pengunjung, Faridah Ismail, 67, penganjuran FAMA Fest 2025 @ Perak ini telah memberi peluangnya seisi keluarga memenuhkan aktiviti di musim cuti sekolah.

Kaunter Bergerak Ar Rahnu menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan emas dan jualan emas terpakai.
“Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan khusus untuk kanak-kanak telah menarik perhatian saya untuk membawa cucu-cucu ke sini sempena cuti sekolah. Program seperti FAMA Fest 2025 @ Perak ini bukan sahaja menyeronokkan, malah turut memberi peluang kepada generasi muda untuk mengenali produk tempatan serta budaya pertanian secara lebih dekat.
“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang, mungkin dengan lebih banyak pengisian yang sesuai untuk seisi keluarga,” ujarnya, ketika ditemui kelmarin.
Menurut Unit Korporat dan Advokasi FAMA Perak Mohamad Azri Chik Rus, FAMA Fest 2025 @ Perak menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM3 juta, dengan penglibatan lebih 120 orang usahawan menerusi 210 lot jualan dan pameran yang merangkumi pelbagai kluster produk agromakanan.
-ZS-