
Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof
KUALA KRAI, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 100 penduduk daripada pelbagai peringkat umur telah turun padang menjayakan program gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Mukim Kebun Kuala Pertang, di sini semalam.
Program anjuran bersama penduduk setempat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kuala Pertang ini bertujuan memupuk semangat kerjasama serta meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan kawasan perkuburan.

Kaum wanita juga hadir dalam gotong-royong.
Pengerusi JPKKP Adnan Mat Yassin, 63, berkata bahawa aktiviti seperti ini bukan sahaja mencerminkan nilai murni dalam masyarakat, malah menjadi wadah untuk memperingati mereka yang telah pergi.
“Gotong-royong ini menyemai semangat kebersamaan dan memberi ruang untuk kita menghargai serta memuliakan insan yang telah meninggal dunia,” katanya.
Imam Tua Masjid Al-Solihin, Ustaz Mohammad Hamim Mohamad Nawi, 40, turut hadir dan menyokong sepenuhnya program ini.
Beliau menyarankan agar aktiviti sebegini diteruskan secara berkala.

Penduduk kampung memeriksa mesin pemotong rumput sebelum gotong-royong.
“Membersihkan kawasan perkuburan adalah satu bentuk amal.
“Ia mengingatkan kita kepada kematian dan memberi peluang untuk bermuhasabah. Semoga ia membawa manfaat kepada semua,” katanya.
Program yang berlangsung dari pagi hingga tengah hari itu menyaksikan penyertaan aktif daripada golongan belia dan warga emas yang berganding bahu mencabut rumput, membersihkan kawasan sekeliling serta membaiki struktur asas tanah perkuburan.
Usaha ini dilihat bukan sahaja membantu mencantikkan kawasan tersebut, malah turut mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara ahli masyarakat setempat.
-ZS-