
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Program Gotong-Royong Perdana anjuran COMBI Sungai Tengas dengan kerjasama Masjid Al-Falah berlangsung dengan jayanya di perkarangan masjid tersebut, melibatkan penyertaan aktif daripada penduduk kampung serta ahli jawatankuasa setempat, di sini kelmarin.

Aktiviti regangan memanaskan badan sebelum peserta Combi memulakan gotong-royong
Program yang bermula jam 9.30 pagi ini bertujuan memupuk budaya kebersihan, kesedaran sivik dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam menjaga kebersihan kawasan rumah ibadat dan persekitarannya.
Menurut Raziah Tamser, 55, Pengerusi COMBI Kampung Sungai Buloh/KEDA Sungai Buloh, program ini merupakan satu kolaborasi yang baik antara pihak COMBI dan masjid dalam usaha menyemai nilai kebersihan dalam komuniti.

Aktiviti gotong royong membersihkan kawasan perkuburan sebagai menjadi salah satu pengisian dalam program kali ini
“Usaha seperti ini perlu diteruskan agar masyarakat lebih cakna terhadap kebersihan dan memastikan kawasan kampung sentiasa terjaga dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Norsham Johari, 59, menyifatkan program gotong-royong ini sangat bermanfaat kerana bukan sahaja membantu membersihkan persekitaran masjid, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Kami bergotong-royong sambil beramah mesra, saling mengenali antara satu sama lain. Ini bukan sekadar membersih, tetapi juga menyatu-padukan masyarakat,” ujarnya.
Penganjuran program seperti ini selari dengan aspirasi Komuniti MADANI yang menekankan aspek perpaduan, kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Inisiatif ini diharap dapat menjadi contoh kepada kampung-kampung lain untuk terus melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
-AA-