
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Mazlin Basir (Pontian)
PONTIAN, 2 Jun (MalaysiaAktif) – Program gotong-royong Komuniti MADANI (KM) bukan sahaja berjaya mewujudkan persekitaran yang bersih, malah turut memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan ahlinya.

Ahli-ahli Komuniti MADANI gigih membersihkan halaman Kompleks Penghulu Mukim Jeram Batu dan Pengkalan Raja.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Pengkalan Raja Pekan Nenas Mohd Ikhtiar Ruddin Muhammad, berkata aktiviti seumpama ini berperanan sebagai platform untuk ahli komuniti berinteraksi dan bertukar pandangan, terutama memandangkan kesibukan tugasan harian sering membatasi pertemuan antara mereka.
“Program gotong-royong ini bukan sahaja menyemai budaya kebersihan dalam komuniti, malah mampu merapatkan hubungan persaudaraan antara ahli-ahli KM yang jarang bersua muka kerana tuntutan kerja,” katanya ketika ditemui pada Program Kemasyarakatan Gotong-Royong@Komuniti MADANI Kampung Pengkalan Raja, di sini semalam.

Pembantu Penerangan Pejabat Penerangan Daerah Pontian Mazlin Basir menyampaikan naratif isu semasa ketika perjumpaan bersama ahli-ahli Komuniti MADANI yang hadir.
Menurut beliau, kejayaan sesuatu inisiatif kemasyarakatan bergantung kepada tahap penglibatan dan sokongan daripada komuniti itu sendiri.
“Kita dapat lihat semangat tersebut melalui penglibatan aktif ahli KM dalam aktiviti pembersihan Kompleks Penghulu Mukim Jeram Batu dan Pengkalan Raja hari ini,” katanya.
Mohd Ikhtiar turut menghargai inisiatif Pejabat Penerangan Daerah Pontian yang hadir memberikan sokongan dengan mengedarkan bahan penerbitan serta menyampaikan naratif berkenaan isu-isu semasa kepada komuniti.
-ZS-