
Laporan/foto: Suhaidi Jusoh
TANAH MERAH, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Kreativiti dan ketelitian seorang ibu tunggal dari Kampung Cangkat Cermin, Gual Ipoh, di sini membuahkan hasil apabila gubahan tuala bertemakan burung merak hasil sentuhannya dinobat juara dalam Pertandingan Gubahan Tuala Kreatif, pagi tadi.
Rohana Ahmad, 47, memukau juri dengan hasil gubahan bermotif ekor merak mengembang sepanjang Program Jiwa@Komuniti MADANI anjuran Komuniti MADANI setempat, Pertubuhan Masyarakat MADANI Gual Ipoh dan Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah di Pusat Aktiviti Masyarakat Gual Ipoh, Bukit Terenang.

Penyampaian hadiah oleh Datin Seri Siti Norasyikin Mohamad isteri kepada Datuk Seri Supardi Mohd Nor.
Rohana berkata idea menghasilkan tema tersebut tercetus selepas seminggu mencari ilham dan mendapatkan pandangan rakan-rakan.
“Saya mahu sesuatu yang unik, berbeza dan dapat menarik perhatian juri. Tema burung merak ini saya pilih sebab ia simbol keindahan dan tarikan. Modal pun tidak banyak, cuma RM15 sahaja kerana tuala disediakan pihak penganjur,” katanya.
Pertandingan selama sejam itu menyaksikan 11 peserta menunjukkan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan gubahan tuala bertema bebas.
Ketua pengadil merangkap penganjur program, Nurinsyirah Abdullah, 37, berkata kriteria penjurian mengambil kira kekemasan, kreativiti dan kemampuan peserta menepati tema pilihan mereka.
“Walaupun penyertaan hanya 11 orang, setiap hasil gubahan mempunyai keunikan tersendiri. Bukan mudah memilih pemenang kerana semua cantik-cantik belaka, malah ada yang sesuai dijadikan gubahan hantaran perkahwinan,” katanya yang juga Ketua Wanita Masyarakat MADANI di situ.

Rohana (tengah) sedang menyiapkan gubahan tuala.
Beliau dibantu oleh Pengerusi Masyarakat MADANI Gual Ipoh Rusli Abdul Aziz, 55, dalam proses penilaian akhir.
Selain pertandingan gubahan tuala, program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan dam aji, gusti lengan dan mewarna bagi kanak-kanak tadika, sekali gus menarik kehadiran hampir 500 orang penduduk kampung.
Hadir sama Penasihat Komuniti MADANI Daerah Tanah Merah Datuk Seri Supardi Mohd Nor dan isteri, Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri serta penduduk setempat.
Program itu bukan sahaja berjaya mengeratkan hubungan komuniti tetapi membuka ruang kepada penduduk menonjolkan bakat serta kreativiti masing-masing dalam suasana santai dan mesra masyarakat.
-ZS-