
Laporan/foto: Muhamad Azrul Abdullah (Padang Terap)
PADANG TERAP, 7 Jun (MalaysiaAktif) – Gunung Kerengga, yang terletak berhampiran kawasan rekreasi Tasik Pedu, kini menjadi antara destinasi ekopelancongan baharu yang semakin mendapat perhatian pelancong sempena Tahun Melawat Kedah 2025.

Kawasan dataran bagi pengunjung meletakkan kenderaan di puncak Gunung Kerengga.
Ketinggian kira-kira 243 meter dari paras laut, Gunung Kerengga menawarkan pengalaman pendakian yang sederhana tetapi memuaskan, terutama kepada pencinta alam dan pendaki rekreasi.
Panorama di puncak yang menghadap Tasik Pedu serta kehijauan hutan hujan tropika menjadikan lokasi ini pilihan ideal untuk aktiviti fotografi alam semula jadi, berkelah, dan riadah hujung minggu.
Menurut seorang pendaki tempatan yang ditemui kelmarin, Zamri Ghazali, 52, kemudahan laluan dan akses ke gunung ini kini jauh lebih baik berbanding dahulu.
“Dulu agak sukar nak naik sebab tiada laluan jelas. Sekarang dah ada jalan bertar, tempat letak kereta pun lebih tersusun.

Pondok rehat sumbangan kerajaan negeri untuk kemudahan pengunjung.
“Lebih senang untuk orang ramai menikmati keindahan puncak Gunung Kerengga,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan serta komuniti sekitar Pedu turut memainkan peranan dalam membersih dan menyelenggara laluan ke Gunung Kerengga sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan produk pelancongan daerah Padang Terap.
Gunung Kerengga sering menjadi lokasi pilihan untuk program komuniti seperti ekspedisi sekolah, pendakian amal dan kem fotografi alam semula jadi.
Sempena Tahun Melawat Kedah 2025, Gunung Kerengga disenaraikan sebagai salah satu destinasi tambahan apabila melawat ke kawasan Pedu yang sebelum ini hanya terkenal dengan Tasik Pedu.
-ZS-