
Laporan/foto: Noraznaliza Mohd Asri/Elyas Hisyam Mat Zin
KUALA LUMPUR, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Persatuan Penduduk PPR Jelatek dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Titiwangsa, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Siti Sapura, Komuniti MADANI PPR Jelatek dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Jelatek telah menganjurkan Program Ibadah Korban di perkarangan PPR Jelatek, kelmarin.

Aktiviti gotong-royong melapah daging.
Antara agensi kerajaan yang turut terlibat dalam ibadah korban kali ini adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Keramat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JAPEN WPKL&P) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ibadah korban kali ini melibatkan sumbangan sebanyak lapan ekor lembu. Sesi gotong-royong melapah, memasak dan edaran daging korban berjaya dilaksanakan walaupun cabaran faktor kekangan masa, tempat yang terhad dan tenaga kerja yang kurang berikutan kebanyakan penduduk pulang beraya ke kampung halaman.
Menurut Ketua Komuniti MADANI PPR Jelatek Isa Bakar, dengan adanya kerjasama ini dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha disamping mengeratkan hubungan baik antara penduduk setempat dan agensi kerajaan.
“Pelaksanaan ibadah korban di kawasan perumahan PPR di tengah bandar raya yang sesak lebih mencabar kerana faktor kekangan masa yang terhad dan juga tenaga kerja yang kurang berikutan kebanyakan penduduk di kawasan bandar pulang beraya di kampung halaman.

Petugas lelaki bergambar bersama Johari.
“Namun begitu dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta penduduk membantu mempermudahkan aktiviti pelaksanaan ibadah korban kali ini,” katanya.
Seramai 100 orang petugas yang terdiri daripada penduduk PPR Jelatek, Jabatan dan Agensi Kerajaan terlibat dalam kerja-kerja menyembelih lapan ekor lembu, melapah, memasak serta menguruskan agihan daging korban kepada kira-kira 500 penerima.
Aktiviti kemasyarakatan seperti ini dilihat sebagai salah satu mekanisma yang baik dalam mengeratkan silaturahim antara penduduk di samping melahirkan sifat ramah mesra antara satu sama lain dalam mengukuhkan perpaduan antara masyarakat setempat.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
-ZS-