Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

ICU JPM Santuni 200 KIR eKasih

By 17 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 10 Jun (MalaysiaAktif) – Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (PPN Pahang) Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri menyantuni seramai 200 Ketua Isi Rumah (KIR) eKasih melalui Program Kenduri Rakyat dan Agihan Daging Korban Tahun 2025 di perkarangan Masjid Al Mukmin, PPRS Pinggiran Putra 3, di sini hari ini.

Datuk Hamdan menjawab pertanyaan daripada pihak media.

Menurut Pengarah Pembangunan Negeri Pahang Datuk Hamdan Hussin, program ini merupakan salah satu program di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI (IKRaM) dengan pendekatan menyantuni seramai 200 KIR eKasih berstatus Miskin dan Miskin Tegar melalui agihan daging korban sumbangan Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad di bawah kapasiti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Program ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Kenduri Rakyat yang melibatkan aktiviti gotong-royong memasak dan jamuan makan bersama hampir 4,000 orang penduduk setempat sebagai usaha mengeratkan hubungan dalam komuniti,” katanya.

Dari kiri Anis Sakinah, Maisarah Puteh dan Nurul Nur Farisha gembira menerima agihan daging tersebut.

Bagi tiga orang penerima agihan daging korban Nurul Nur Farisha Irwayu Mazlan, 21, Anis Sakinah Mohamad Hasannuddin, 23, dan Maisarah Puteh, 52, dari Kampung Tanjung Lumpur mereka melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sumbangan daging korban tersebut dan program ini patut dilaksanakan pada setiap tahun.

“Sesungguhnya ini amat bermakna kepada orang susah serta memerlukan dan kami amatlah menghargai pemberian tersebut,” kata Nur Farisha.

Ketiga-tiga mereka sependapat agihan daging korban dan jamuan kenduri rakyat dapat mewujudkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti setempat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda