
Laporan/foto: Noornita Ahmad (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Inisiatif ibadah korban pada harga mampu milik di Permatang Pauh bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat berpendapatan rendah, malah menjadi simbol penyatuan komuniti menerusi semangat gotong-royong sempena sambutan Aidiladha.

Shamsul Iskandar berkata inisiatif ini mencerminkan iltizam Kerajaan Perpaduan dalam membantu golongan berpendapatan rendah menunaikan ibadat korban.
Satu bahagian lembu korban ditawarkan kepada penduduk setempat pada harga hanya RM399, ternyata jauh lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
Program ini dilaksanakan di bawah inisiatif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sebagai sebahagian daripada usaha proaktif Kerajaan Perpaduan menangani tekanan kos sara hidup rakyat.
Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, pendekatan ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan B40 tidak terpinggir daripada menunaikan ibadah korban.
“Kami mahu pastikan ibadah korban ini tidak menjadi hak eksklusif mereka yang berkemampuan, tetapi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

Para pembeli membuat pendaftaran di tapak agihan.
“Pada masa sama, ia menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya, di sini kelmarin.
Apa yang lebih signifikan pengedaran lembu korban dilaksanakan di 40 lokasi strategik termasuk masjid, surau, pusat tahfiz, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan sekitar kawasan Permatang Pauh.
Turut hadir Pegawai Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah Datuk Kamarul Haizal Koderat, Pegawai Khas Perdana Menteri Zainal Abidin Saad dan Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti Mohamad Salehan Jahaya.
-ZS-