Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Inisiatif Log Boom: Tindakan Proaktif Bendung Pencemaran Sampah di Sungai Melayu

By 26 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Iskandar News (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 5 Jun (MalaysiaAktif ) — Satu inisiatif pemuliharaan sungai peringkat akar umbi telah dilancarkan di Kampung Sungai Melayu, melibatkan penyertaan aktif masyarakat setempat, sukarelawan belia dan rakan korporat bagi memasang alat penahan sampah (log boom) sebagai usaha menangani pencemaran sungai.

Pemasangan log boom atau alat penahan sampah dilakukan di salah satu laluan air utama di Kampung Sungai Melayu.

Program yang dinamakan ‘We Be-Leaf Together: Log Boom Installation’ ini dianjurkan oleh Koperasi Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu dengan kerjasama Microsoft Malaysia menerusi platform Socio-Economic Recovery (SER).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata program ini merupakan sebahagian daripada Inisiatif Kesedaran Alam Sekitar Bersama Belia, yang bertujuan menggerakkan golongan muda dalam usaha memelihara sungai di Malaysia serta mempromosi kelestarian komuniti secara menyeluruh.

“Alat penahan sampah yang dipasang merupakan alat apungan pasif yang direka khusus untuk memerangkap sisa pepejal seperti sampah plastik, bahan pembungkusan, dan sisa tumbuhan daripada dihanyutkan ke hilir atau ke laut. Pemasangan ini dilakukan di salah satu laluan air utama di Kampung Sungai Melayu.

We Be-Leaf Together: Log Boom Installation dianjurkan oleh Koperasi Eko-Pelancongan Kampung Sungai Melayu dengan kerjasama Microsoft Malaysia menerusi platform Socio-Economic Recovery (SER).

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas perancangan dan pelaksanaan inisiatif ini. Setiap produk seperti log boom yang berfungsi sebagai perangkap sampah ini harus diuji keberkesanannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Melayu, di sini hari ini.

Tambah Pandak, pemasangan alat penahan sampah ini wajar dibangunkan dan diperluas penggunaannya ke semua sungai yang terjejas akibat pencemaran, jika terbukti berkesan.

“Selain pengurusan sisa, usaha ini turut menyumbang kepada daya tahan alam sekitar dengan membantu melindungi biodiversiti hutan paya bakau, menyokong potensi ekopelancongan, serta meningkatkan kualiti air dalam jangka masa panjang,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda