
Laporan/foto:AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 18 Jun (MalaysiaAktif) – Pendekatan turun padang oleh Jabatan Penerangan Malaysia menerusi program Info On Wheels (IOW) terus mendapat sambutan positif apabila siri jelajah edisi Tawau berjaya dilaksanakan di empat lokasi strategik, iaitu Taman Ranggu Saujana, Kampung Blok 31, Kinabutan Commercial Centre dan Kedai Batu 8.

Salleh (kiri) turut sama mengedarkan bahan-bahan penerbitan kepada masyarakat setempat dalam program Info On Wheels (IOW) berkenaan.
Program yang menggunakan van bergerak sebagai medium utama penyampaian maklumat ini menarik minat komuniti setempat untuk hadir dan mendapatkan pelbagai informasi sahih secara terus daripada agensi kerajaan.
Pemaju Mukim Ranggu, Salleh Hasan, berpendapat program IOW bukan sahaja memberi maklumat rasmi kepada masyarakat, tetapi turut memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang komunikasi antara rakyat dan kerajaan.
“Program seperti ini sangat bermanfaat kepada penduduk luar bandar yang mungkin tidak begitu terdedah kepada maklumat digital. Pendekatan bersemuka seperti ini lebih mudah diterima oleh masyarakat.

Edaran bahan penerbitan kepada masyarakat di sekitar lokasi jelajah semasa program IOW dijalankan, semalam.
“Selain menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat, IOW juga membuka ruang kepada orang ramai untuk bertanya secara langsung serta mendapatkan penjelasan terus daripada pihak berwajib.
“Program IOW dilihat bukan sekadar menyampaikan maklumat, malah turut berperanan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI dan aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini pada Selasa.
Pelbagai isu semasa turut dikongsikan, termasuk pengenalan Chatbot AIFA, kesedaran tentang jenayah siber dan perlindungan data peribadi, penjelasan mengenai OPS GASAK, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta promosi Karnival CIMIC.
-RJ-