
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Dungun)
DUNGUN, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Lebih 50 penduduk Taman Bukit Indah turun padang dalam program berjalan laju ‘Brisk Walk Komuniti Sihat’ anjuran Komuniti MADANI Taman Bukit Indah bersama Pejabat Penerangan Daerah Dungun, di sini kelmarin.
Program yang berlangsung dengan penuh semangat dan ceria bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan para peserta melakukan sesi pemanasan badan sebelum memulakan berjalan laju sejauh hampir tiga kilometer.
Suasana mesra dan penuh gelak tawa jelas terpancar, memperlihat semangat kebersamaan yang kukuh dalam kalangan penduduk pelbagai peringkat umur.
Menurut Pengerusi Komuniti MADANI Taman Bukit Indah Shahrizan Rokit, program ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan kejiranan.

Zulkifli menyifatkan berjalan laju sebagai aktiviti mudah tetapi berkesan untuk meningkatkan stamina dan kesihatan jantung.
“Ia turut dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat penting berkaitan dasar kerajaan dan bahaya penipuan dalam talian,” katanya.
Peserta Zulkifli Mat Ayin, 55, yang menyifatkan berjalan laju sebagai aktiviti mudah namun sangat bermanfaat untuk kesihatan dan hubungan sosial.
“Saya harap aktiviti ini boleh dijadikan acara bulanan,” katanya.

Rohana Muhammad, teruja sertai aktiviti berjalan laju sambil mengakui semangat bersenam lebih terasa bila dilakukan bersama jiran tetangga.
Bagi peserta Rohana Muhammad, 57, aktiviti seperti ini memberi motivasi untuk terus aktif dan menjadi peluang untuk lebih mengenali jiran tetangga.
“Kalau bersenam seorang memang susah nak konsisten, tapi bila ramai-ramai, seronok,” ujarnya dengan nada ceria.
Pegawai Penerangan Daerah Dungun Aneta Ahmad yang turut hadir, berkata program ini berjaya mencapai objektifnya dengan menyatukan komuniti sambil mempromosikan amalan hidup sihat serta menyarankan agar aktiviti seumpama ini diteruskan secara berkala.
“Dengan kombinasi sihat, ceria dan mesra komuniti, Bukit Indah jelas menunjukkan contoh komuniti madani yang harmoni dan proaktif,” katanya.
-ZS-