Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Jebak: Warisan Budaya, Rezeki daripada Kayu dan Kreativiti

By 48 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rosli Md Zin

PASIR MAS, 21 Jun (MalaysiaAktif) – Di sebalik kepesatan teknologi moden, masih ada warisan tradisi Melayu yang kekal relevan dan terus hidup melalui sentuhan tangan mereka yang menghargainya.

Salah satu daripadanya ialah jebak, alat (sangkar) alat perangkap tradisional untuk menangkap burung atau binatang lain-lain yang bukan sahaja menyimpan nilai budaya, malah mampu menjana pendapatan jika dimanfaatkan dengan bijak.

Jebak kebiasaannya diperbuat daripada rotan, buluh atau kayu, digunakan untuk menangkap burung puyuh, dan kadangkala juga biawak, musang serta landak.

Suatu ketika dahulu, jebak digunakan secara meluas selepas musim menuai sebagai sebahagian daripada gaya hidup kampung.

Di Pasir Mas, budaya memikat burung menggunakan jebak masih wujud dan tetap mendapat tempat dalam kalangan penggemar aktiviti ini.

Namun begitu, untuk mendapatkan jebak hari ini bukanlah semudah membelinya di pasar atau kedai runcit, hanya terdapat di kedai khusus yang menjual makanan burung atau ternakan yang mungkin menawarkan pilihan terbatas.

Oleh sebab itu, ramai pemikat burung lebih memilih untuk menempah terus daripada pembuat jebak tempatan yang memahami kehendak dan cita rasa mereka.

Salah seorang pembuat jebak ialah Azwan, 33, atau lebih mesra dikenali sebagai Wan, seorang tukang jebak dari Kampung Sipol Kubang Batu, di sini.

Pembuat jebak Azwan Nazri.

Walaupun baru empat tahun menceburi bidang ini, hasil tangannya kini dikenali dan ditempah dari serata Kelantan bahkan seluruh Semenanjung Malaysia.

“Saya mula buat jebak untuk kegunaan sendiri saja. Belajar pun dari YouTube.

“Tak sangka hasil pertama tu menarik perhatian ramai. Dari situ, mula la datang tempahan,” cerita Wan yang kini aktif menjual jebak secara dalam talian, di sini kelmarin.

Satu ketika dahulu, katanya, beliau pernah menerima tempahan sehingga 80 buah jebak hanya dari Kuala Lumpur, semuanya dihantar melalui perkhidmatan kurier.

Minat dan semangat untuk menghasilkan produk yang berkualiti mendorong Wan terus menghasilkan jebak dalam pelbagai reka bentuk dan gaya.

Menurutnya, pembuatan jebak bukan semudah yang disangka. Jenis kayu, bentuk dahan dan ukuran yang tepat memainkan peranan penting dalam menentukan kekuatan dan keselesaan pengguna.

“Jika menggunakan kayu siap proses, sebuah jebak boleh disiapkan dalam sehari, namun jika pelanggan meminta bahan daripada batang atau dahan pokok asli, proses boleh memakan masa sehingga tiga hari kerana cabaran mencari dahan lurus dan melenturkannya mengikut bentuk yang diingini,” katanya.

Antara jebak yang sudah ditempah oleh pemikat burung.

Antara jenis jebak yang dihasilkan Wan termasuklah jebak rumah, keranda, kapal, kasut dan bahkan reka bentuk helikopter.

“Setiap jenis mempunyai kegunaan tersendiri,  contohnya jebak keranda sesuai untuk burung murai manakala jebak kasut digunakan bagi menangkap burung merbah kuning.

“Walaupun ada peranan khusus untuk setiap bentuk jebak, sebenarnya kalau pemikat hanya ada satu jenis pun, ia masih boleh digunakan untuk pelbagai spesis burung,” katanya sambil tersenyum mengakhiri perbualan.

Jebak bukan sekadar alat menangkap burung, tetapi simbol ketekunan, warisan seni tangan Melayu dan bukti bahawa nilai tradisi boleh diterjemah menjadi sumber rezeki jika diusahakan dengan penuh minat dan kreativiti.

-ZS-

Tinggalkan komen anda