
Laporan/foto: Nurul Ain Kamil
GEORGE TOWN, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Jelajah Pentarama X Kelab Malaysiaku edisi Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, hari ini berjaya tarik minat pelajar mengenali ASEAN dan cakna langkah-langkah keselamatan siber.
Program berkonsepkan hiburan berinformasi itu merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang dianjurkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta membina jati diri dalam kalangan generasi muda.

Pelajar Tingkatan Empat, M. Kerthika seronok dan terhibur dengan program yang disertai.
Antara pengisian utama ialah sesi pengenalan kepada Kelab Malaysiaku, peragaan busana tradisional dan Kuiz ASEAN untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman pelajar mengenai ASEAN, serta memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan mereka.
Taklimat Kempen Internet Selamat turut disampaikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meningkatkan kesedaran pelajar tentang keselamatan siber serta etika penggunaan internet secara bertanggungjawab.
Pelajar yang ditemui, M. Kerthika, 16, berkata program seumpama ini sangat menarik dan menghiburkan.
“Sebelum ini, saya kurang mengenali busana tradisional negara-negara ASEAN tetapi saya dapat melihatnya pada hari ini.
“Melalui program ini juga, saya mengetahui langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil untuk melindungi diri di media sosial,” katanya.

Pelajar Tingkatan Lima, Glynelia De Sharen, berkata beliau mendapat banyak pengetahuan baru melalui pendekatan yang menyeronokkan.
Glynelia De Sharen, 17, berkata beliau mendapat banyak pengetahuan baru melalui pendekatan yang menyeronokkan.
“Saya kurang mengenali etnik dan budaya negara-negara ASEAN, tetapi pada hari ini saya dapat memperagakan sendiri pakaian etnik Orang Ulu dari Sarawak,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif.
Penolong Kanan Pentadbiran SMK (P) Methodist N. Shamlah, berkata program ini merupakah saluran terbaik kerana menyuntik elemen hiburan dalam pembelajaran.
“Dengan cara ini, para pelajar lebih mudah mengingati apa yang dipelajari kerana menggunakan pendekatan yang santai dan menarik,” katanya yang turut berbesar hati kepada Jabatan Penerangan kerana memilih sekolah itu sebagai salah satu lokasi program.
Program hari ini merupakan siri pertama yang dianjurkan di Pulau Pinang dan akan diteruskan di tiga lagi sekolah terpilih di negeri ini dalam masa terdekat.
-ZS-