Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

JIWA@Komuniti MADANI Eratkan Ukhuwah Sempena Ngiling Kelaya Sungai Buluh

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Mohamad Subuh Jamali (Sarawak)

SIMUNJAN, 23 Jun (Malaysia Aktif) – Program JIWA@Komuniti MADANI Perayaan Ngiling Kelaya sempena penutupan Gawai Dayak 2025 di Kampung Sungai Buluh, Simunjan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, dengan kehadiran sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, semalam.

Rodiyah swafoto bersama komuniti setempat.

Program anjuran bersama Komuniti MADANI Kampung Sungai Buluh dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ini berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang lapisan dalam suasana penuh harmoni, menzahirkan semangat serumpun serta memperkukuh hubungan erat antara rakyat dan pemimpin setempat.

Antara pengisian menarik sepanjang program termasuklah persembahan kebudayaan, jamuan makanan tradisional, serta acara simbolik ‘Ngiling Kelaya’ yang menandakan penutupan rasmi musim perayaan Gawai Dayak.

Nyanoh Jepon (kiri) antara penduduk yang ditemu bual.

Menurut Nyanoh Jepon, 51, seorang penduduk rumah panjang, beliau berharap sambutan Ngiling Kelaya tahun ini akan membawa lebih banyak manfaat pembangunan hasil perhatian dan kehadiran kedua-dua wakil rakyat tersebut.

Program JIWA@Komuniti MADANI merupakan platform strategik yang menghubungkan agensi kerajaan dengan masyarakat bagi menyampaikan maklumat dasar, mendengar permasalahan setempat serta memupuk nilai perpaduan dan semangat kebersamaan.

Majlis ini juga mencerminkan komitmen Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat menerusi pendekatan yang inklusif dan mesra komuniti.

Gawai Dayak mungkin telah melabuhkan tirai, namun semangat perpaduan dan kebersamaan terus mekar dalam hati masyarakat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda