
Laporan/foto: Noor Syuhada Muhamad Yasin/Lyana Athirah Mohd Saad (Pokok Sena)
HUTAN KAMPUNG, 30 Jun (MalaysiaAktif) – JIWA@Komuniti MADANI Sembang Santai Hutan Kampung di Surau An Nur, Kampung Padang, di sini semalam menampilkan pengisian rohani dan taklimat kesedaran digital demi manfaat penduduk setempat.

Ustaz Ismail ketika menyampaikan kuliah duha.
Program itu berjaya menggabungkan aspek rohani dan kesedaran teknologi, sejajar usaha kerajaan memperkukuh komuniti berilmu, sejahtera dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa kini.
Sesi kuliah duha yang disampaikan Ustaz Ismail Fathoni bertajuk ‘Betulkah Solat Anda?’, menekankan kepentingan solat sebagai asas kehidupan seorang Muslim serta mengingatkan bahawa ibadah itu bukan sekadar kewajipan tetapi merupakan tiang agama yang menjadi kunci kepada akhlak, disiplin dan hubungan dengan Allah SWT.
“Jika solat dijaga maka segala urusan lain akan dipermudahkan,” katanya.

Lyana ketika menyampaikan taklimat.
Taklimat ‘Internet Selamat dan Perlindungan daripada Ancaman Siber’ oleh wakil Pejabat Penerangan Daerah Pokok Sena Lyana Athirah pula menjelaskan pelbagai bentuk penipuan dalam talian yang kian berleluasa, termasuk scam (penipuan) pelaburan, penyamaran identiti, pemerdagangan manusia dan mesej palsu yang memperdaya pengguna.
“Pendidikan digital amat penting bagi memastikan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan taktik penjenayah siber,” jelasnya.
Lyana turut berkongsi langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya menjadi mangsa penipuan, antaranya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa dan mengelakkan berkongsi maklumat peribadi di platform yang tidak sah.
-FN-