
Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)/Nasrul JPKK Desa Murni Kerdau
TEMERLOH, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 30 penduduk Desa Murni Kerdau telah menyertai Bengkel Eko Dapur : Racun Serangga dan Baja Organik dari Sisa Dapur anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Desa Murni Kerdau dan Jabatan Pertanian Temerloh, di sini Selasa lalu.

Aktiviti amali peserta kursus Ekodapur.
Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada penduduk komuniti Desa Murni Kerdau mengenai kaedah pertanian organik yang mesra alam dan menjimatkan kos melalui pendekatan penggunaan baja dan kawalan perosak organik di mana peserta akan dilatih untuk mengamalkan pertanian lestari yang dapat meningkatkan hasil tanaman tanpa bergantung kepada bahan kimia sintetik.
Menurut Pengerusi JPKK Desa Murni Kerdau Mohd Fazrul Ahmad program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti mereka bagi menghadapi persiapan mewakili negeri Pahang ke Pertandingan Aspirasi Desa Madani (ADM) Peringkat Kebangsaan 2025 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Julai nanti.
“Baru-baru ini Kampung Desa Murni Kerdau telah dinobatkan Johan Aspirasi Desa Madani (ADM) Peringkat Negeri Pahang dan Julai nanti kampung kami akan mewakili negeri Pahang di peringkat kebangsaan pula,” ujarnya.
Melalui kursus ini, peserta didedahkan mengenai baja organik iaitu baja semula jadi yang dihasilkan menggunakan bahan semula jadi yang mengalami proses pereputan dan menghasilkan nutrien penting yang diperlukan oleh tumbuh-tumbuhan.
Contoh baja organik adalah baja daripada tinja haiwan dan baja kompos manakala kompos memberi maksud salah satu proses dalam penghasilan baja organik di mana bahan-bahan seperti rumput dan daun kering, sisa buangan dapur, sisa sayuran dan buahan mengalami proses pereputan secara semula jadi.

Barisan peserta dan penceramah Kursus Ekodapur: Baja dan Racun Organik.
Antara kelebihan kompos adalah menambah nutrien dalam tanah, memperkenalkan organisma berguna kepada tanah, mengurangkan pembuangan sisa dapur (sampah domestik) dan ianya baik untuk alam sekitar.
Penyelaras program Sarimah Muhamed Said, berharap bengkel seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.
“Ia mampu membuka mata, minda serta menggalakkan para peserta komuniti desa untuk lebih bertanggungjawab dalam berinovasi menggunakan bahan buangan, sekali gus membantu mengurangkan pelupusan sampah,” katanya.
-ZS-