
Laporan/foto: Haji Rosli Muhammad/Mohd Fauzan Mahari
PASIR PUTEH, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Usaha berterusan dalam pertanian moden membuahkan hasil apabila JS Golden Melon berjaya mencatat kejayaan sebagai pengeluar tembikai emas premium terbaik di negara ini.
Golden melon atau tembikai emas keluaran syarikat berkenaan terkenal dengan tahap kualiti yang tinggi berikutan kawalan ketat sepanjang penanaman.

Razani bersama Penggawa Pasir Puteh menunjukkan buah tembikai emas yang sudah boleh dituai.
Pendekatan ini diambil untuk memastikan buah yang dihasilkan memenuhi standard premium.
Di atas tanah seluas 1.5 ekar, sebanyak 6,000 pokok ditanam dengan tempoh matang antara 65 hingga 70 hari.
Setiap pokok hanya dibiarkan berbuah satu hingga dua biji bagi mengekalkan saiz dan kualiti terbaik.
Pemilik JS Golden Melon, Datuk Ir. Haji Razani Ab. Lazid, 65, yang juga anak jati Pasir Puteh, berkata perusahaan ini dimulakan lima tahun lalu dengan modal sendiri.
Beliau kini turut menerima sokongan Pertubuhan Peladang Kawasan Pasir Puteh dari segi bantuan input pertanian dan khidmat nasihat.
“Pendekatan kami lebih menekankan kualiti berbanding kuantiti. Setiap buah dipantau dengan teliti bagi memastikan ia mencapai piawaian premium sebelum dipasarkan,” katanya ketika ditemui di kebunnya semalam.

Razani pemilik JS Golden Melon.
JS Golden Melon turut mengorak langkah dengan memperluas jualan melalui platform dalam talian, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan di seluruh negara.
Tembikai emas dijual pada harga RM8 sekilogram secara borong dan sehingga RM12 sekilogram untuk jualan runcit di gerai.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan potensi pertanian moden sebagai sumber ekonomi, malah menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi bidang usahawan tani secara lebih serius dan berdaya saing.
-ZS-