
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 24 Jun (MalaysiaAktif) – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengesan majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum dan Akta Kerja 1955 dalam Operasi Penguatkuasaan dan Program Kesedaran Pematuhan Undang-Undang Perburuhan yang disertai Ketua Pengarah JTKSM Kamal Pardi, di sini pagi tadi.

Pegawai JTK sedang giat mendapatkan keterangan para pekerja syarikat pembersihan.
Menurut satu kenyataan JTKSM, sebanyak lapan premis majikan diperiksa dan didapati empat majikan membuat pelanggaran akta di bawah JTKSM.
“Antara kesalahan yang dikesan dibawah akta-akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM adalah kegagalan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum dan Akta Kerja 1955.
“Majikan didapati membayar gaji di bawah paras minimum Seksyen 43, Perintah Gaji Minimum Pindaan 2024 dan kesemua kesalahan ini akan diambil tindakan untuk membuka kertas siasatan bagi tindakan kompaun serta pendakwaan selaras dengan akta-akta berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sejumlah 51 orang pekerja tempatan dan seorang pekerja asing telah diperiksa dalam operasi melibatkan pelbagai agensi.

Kamal (dua dari kanan) menemu bual beberapa pekerja pembersihan.
“Operasi ini memperlihatkan kerjasama kukuh antara JTKSM dengan agensi sahabat iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dengan kekuatan keseluruhan anggota seramai 40 orang.
“Penguatkuasaan ini amat penting sebagai langkah proaktif kementerian dalam membanteras ketidakpatuhan terhadap mana-mana akta perburuhan. Selain itu, penguatkuasaan ini perlu dilakukan secara konsisten demi memastikan kebajikan para pekerja tempatan mahupun asing dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa dan perlu bagi membanteras amalan buruh paksa menjelang tahun 2030,” jelas kenyataan itu.
-ZS-