
Laporan/foto: Nurul Azirah Mohd Yunus/Mohd Farhan Abd Rahim (Kinta)
IPOH, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Majlis Pelancaran All-Terrain Vehicle (ATV) dan Karnival Sukan Permotoran Kampung Ulu Kuang telah menjadikan Kampung Ulu Kuang sebagai hub permotoran di Hulu Kinta.
Pegawai Daerah Kinta Zulhisham Ahmad Shukori dalam ucapannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas pencapaian yang telah dicapai oleh Kampung Ulu Kuang.

Kampung Ulu Kuang menawarkan sukan permotoran ATV, bantu jana pendapatan penduduk.
“Kampung Ulu Kuang telah menunjukkan pencapaian yang sangat baik dan sering memenangi pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Kampung contoh Peringkat Daerah, Pertandingan Aspirasi Desa MADANI (ADM) Peringkat Negeri Perak, Pertandingan Aspirasi Desa Sejahtera (ADS) Peringkat Negeri Perak dan sedang menunggu keputusan bagi Pertandingan Aspirasi Desa MADANI Peringkat Kebangsaan bagi kategori Debat dan pengucapan awam,” ujarnya Ketika berucap merasmikan majlis tersebut di perkarangan Masjid As Syakirin, Kampung Ulu Kuang di sini, kelmarin.
Zulhisham Ahmad Shukori juga telah menyerahkan surat lantikan pengerusi dan jawatankuasa SMART TEAM iatu pasukan khas yang ditubuhkan sebagai pasukan hadapan jika berlaku sesuatu bencana sebelum pasukan keselamatan tiba.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Ulu Kuang Haji Hamdan Ishak, berkata pelbagai usaha telah dirangka dan dijalankan dalam menjurus untuk menaikkan taraf ekonomi serta mentaliti penduduk setempat.

Pegawai Daerah Kinta turut menyantuni penduduk setempat bagi menyerahkan sumbangan kerajaan.
“Pembelian ATV dan Projek Penanaman Cendawan merupakan salah satu usaha JPKK meningkatkan sosioekonomi penduduk kampung dengan menyediakan peluang pekerjaan melalui geran SejaTi MADANI,” katanya.
Selain itu, antara pengisian lain di dalam proram ini ialah ziarah kasih dengan menaiki ATV, sukan rakyat, gotong-royong, pameran pelbagai agensi dan taklimat ringkas berkenaan tarif elektrik oleh pihak Jabatan Penerangan.
“Saya berasa sangat gembira dengan adanya ATV di kampung ini kerana ia dapat menjadi daya tarikan pelancongan dan dapat menambah pendapatan penduduk kampung. Aktiviti permotoran juga dapat menarik minat golongan muda dari dalam dan luar kawasan,” kata penduduk Kampung Ulu Kuang, Roziah Hanim, 47, ketika ditemui.
-ZS-