
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Mendidik anak-anak tentang keselamatan internet bukan pilihan, tetapi satu keperluan.
Pendekatan ini yang ditegaskan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika merasmikan program Kempen Internet Selamat (KIS) di Sekolah Menengah (SM) Holy Trinity Tawau, pada Jumaat.

Teo Nie Ching menyampaikan ucapan perasmian Kempen Internet Selamat (KIS) di SM Holy Trinity Tawau.
Menurut Teo, pendekatan ini dilihat bertepatan dalam usaha untuk memperkasakan pelajar agar celik digital dan lebih berwaspada terhadap risiko alam maya menerusi penglibatan penjaga atau ibu bapa.
“Kempen ini telah dilancarkan pada 21 Januari 2025 dan menyasarkan murid sekolah rendah, pelajar menengah serta mahasiswa agar lebih peka terhadap risiko dalam dunia maya.
“Kini, dengan kelajuan internet yang semakin baik dan akses yang semakin meluas, lebih ramai yang menggunakan internet, namun dalam masa yang sama, banyak perkara membimbangkan turut berlaku di dunia maya.
“Sehubungan itu, MCMC melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) sebagai satu inisiatif berskala besar untuk mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai pelbagai risiko dalam alam siber,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Gimik pelancaran rasmi KIS yang berlangsung meriah di SM Holy Trinity Tawau, kelmarin.
Pelaksanaan kempen ini jelasnya menunjukkan impak yang ketara melalui penglibatan aktif pelbagai pihak di peringkat sekolah, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Setakat ini, 53 buah sekolah di Sabah telah dilawati, dengan lebih 11,839 peserta terdiri daripada murid, guru dan ibu bapa telah terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti di bawah kempen ini.
“Usaha ini turut menerima sokongan padu daripada NGO, komuniti Madani, pihak sekolah serta agensi kerajaan, yang bersama-sama menjayakan aspirasi untuk melahirkan generasi digital yang lebih beretika, celik siber dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Untuk makluman, sebanyak 1,298 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah bakal menyertai KIS dijayakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kempen berskala besar ini turut mendapat kerjasama erat Kementerian Komunikasi Malaysia sebagai usaha melindungi generasi muda daripada ancaman dunia siber yang semakin kompleks.
-RJ-