Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Kempen Internet Selamat Sasar Pelajar Peringkat Sekolah Rendah

By 14 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 13 Jun (MalaysiaAktif) – Pengaruh Internet dan media sosial yang besar dalam kalangan para pelajar masa kini mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus giat memperluaskan pelaksanaan Kempen Internet Selamat ke peringkat sekolah rendah.

Mohd Mu’izzuddin menyampaikan taklimat mengenai Kempen Internet Selamat.

Justeru itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Kuching telah menganjurkan Bengkel Train of Trainer (T.o.T) : Kempen Internet Selamat (KIS) di Pejabat MCMC di sini, semalam.

Ketika menyampaikan taklimat dalam bengkel, Timbalan Pengarah MCMC Bahagian Kuching, Mohd Mu’izzuddin Rengga, 42, berkata bengkel ini memperkenalkan modul pembentukan tabiat digital yang sihat, pemahaman hak dan tanggungjawab dalam talian serta kesedaran keselamatan asas dalam persekitaran digital.

“MCMC kini giat melatih lebih ramai pembimbing terutamanya dari ahli Komuniti MADANI sebagai pemudah cara dalam memastikan penyampaian kempen ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di seluruh negara,” ujarnya semalam.

Maria (kiri) bersama rakannya Majorie, peserta dari Komuniti MADANI Kampung Tabuan Dayak.

Salah seorang peserta, Maria Assim, 58, ahli Komuniti MADANI Kampung Tabuan Dayak berasa bersyukur dan bangga kerana dipilih sebagai pemudahcara yang akan berperanan membimbing anak-anak di kawasannya.

“Saya sangat beruntung kerana terpilih menghadiri bengkel pada hari ini yang turut memberi saya pengetahuan baru tentang keselamatan internet dan tanggungjawab serta peranan MCMC,” kata Maria yang juga merupakan Tuai Rumah Kampung Tabuan Dayak.

Menurut Maria lagi, penekanan pelaksanaan KIS mengikut peringkat umur di sekolah rendah adalah satu langkah yang bijak kerana setiap peringkat umur kanak-kanak memerlukan pendekatan yang berbeza.

Peserta bengkel sedang mendengar taklimat di sini, semalam.

“Di samping itu, ibu bapa juga perlu mendalami ilmu berkaitan penggunaan teknologi agar dapat membimbing anak-anak ke arah penggunaan yang lebih selamat dan bermanfaat,” ujarnya lagi.

Bengkel KIS tersebut telah disertai seramai 21 orang Komuniti dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.9 Padungan, DUN N.10 Pending, DUN N.11 Batu Lintang, Pusat Sebaran Maklumat National (NADI) Pending, NADI Tabuan Desa dan NADI Padungan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda