
Laporan/foto: Memi Yusoff/Hazel (Selangor)
SHAH ALAM, 14 Jun (MalaysiaAktif) – Semua bas persiaran, bas ekspres dan kenderaan barangan berat melebihi 3,500 kilogram (kg) yang didaftarkan mulai 1 Januari 2015 diwajibkan mendapatkan Pengesahan Kefungsian dan Laporan Peranti Had Kelajuan (SLD) bermula 1 Oktober ini.

Peranti had laju yang dipasang di dalam sebuah bas di Ibu Pejabat Scania, Shah Alam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata pengesahan fungsi SLD boleh diperoleh daripada pengilang atau pengeluar kenderaan, perkhidmatan teknikal, bengkel servis atau badan pensijilan bertauliah daripada Jabatan Standard Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Langkah ini adalah usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan maut terutamanya melibatkan kenderaan berat,” katanya dalam ajlis pelancaran penggunaan peranti itu di Ibu Pejabat Scania, di sini semalam.
SLD merupakan peranti kawalan kelajuan yang direka bagi mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan, sekali gus membantu mengelakkan pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan terutama bagi kenderaan yang membawa muatan berat atau penumpang.

Anthony mendengar penjelasan daripada Jurutera Prajualan Scania, Shahirwan Salamun berkenaan peranti had laju.
Had laju yang ditetapkan bagi semua kenderaan terlibat adalah maksimum 90 kilometer sejam (km/j), bergantung kepada kawasan laluan.
Menurut Anthony, dokumen pengesahan kefungsian dan laporan SLD wajib diperbaharui setiap dua tahun dan perlu dikemukakan semasa pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) serta semasa permohonan atau pembaharuan permit di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Dokumen tersebut juga perlu sentiasa dibawa di dalam kenderaan bagi tujuan penguatkuasaan oleh JPJ,” katanya.
Selain itu, peraturan ini turut melibatkan kenderaan rebuild dan kenderaan barangan import terpakai yang mempunyai berat melebihi 3,500 kg.
-ZS-